Covid-19: Sumbangan PPE dialu-alukan

0
95
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Bagi memastikan bekalan pakaian perlindungan peribadi (PPE) sentiasa ada, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan proses perolehan PPE secara pembelian pukal di peringkat pusat dan negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain agensi Pusat bagi memastikan isu berkaitan stok itu dapat diberi perhatian khusus.

Katanya, sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dermawan amat dialu-alukan.

Menurutnya, bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pelaporan dan pengkalan data dalam talian yang mudah iaitu dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital dan pejabat kesihatan daerah (PKD) termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD.

“Laporan ini dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat. Senarai nama, nombor telefon serta e-mel pegawai setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang ramai dan kakitangan untuk memberi maklum balas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE.

“Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham menjelaskan, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global dimana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Katanya, di fasiliti KKM juga, didapati penggunaan PPE meningkat secara mendadak susulan pandemik Covid-19.

“Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai ke semua jenis PPE pada masa mereka bertugas. Ini amat penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM.

“Sehubungan itu, KKM menyarankan penggunaan PPE perlu cermat dan berhemah oleh
semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here