Covid-19: Tangguh dulu rancangan ibadah haji

0
97
ARAB Saudi mahu umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji tahun ini berikutan wabak Covid-19 . – Foto AFP

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

RIYADH – Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.

Memetik laporan AFP, Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten berkata, Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.

“Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” katanya kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya di negara itu.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.

Bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Makkah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here