Covid-19: Tempoh 2 minggu amat penting

0
66

CYBERJAYA – Jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling dekat sini masih lagi mencatatkan kluster terbesar iaitu 1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan bersamaan 44.36 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, kluster berkenaan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan misalnya melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi itu.

“Orang awam diseru menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat untuk disaring sekiranya menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

“Orang awam dipohon untuk memberi kerjasama kepada agensi terlibat dalam memerangi Covid-19 di negara ini.

“Tempoh dua minggu akan datang ini adalah amat penting iaitu kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Putrajaya dekat sini hari ini.

Beliau turut mengulangi nasihat kepada orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan etika kebersihan diri misalnya kerap membasuh tangan dan jarakkan diri antara satu sama lain, selain sekiranya mempunyai gejala gunakan penutup hidup dan mulut. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here