Covid-19 : Tiada kematian, jumlah positif paling rendah dicatatkan

0
69

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiada sebarang kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kematian kekal pada 89 kes.

Beliau turut memaklumkan bilangan kes terbaharu positif Covid-19 juga paling rendah direkod setakat ini iaitu sebanyak 36 kes dan menjadikan jumlah kes positif 5,425 kes.

“Ini merupakan bilangan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes.

“Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dari jumlah tersebut, 28 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata terdapat 98 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,295 kes atau 60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Jelasnya, penurunan jumlah kes harian sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu yang lalu.

“Namun, jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here