Covid-19: Tiga lagi kematian dicatatkan hari ini

0
95
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiga lagi kematian baharu akibat wabak Covid-19 yang membawa jumlah kematian bertambah kepada 73 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-71 (kes ke-3,091) adalah lelaki tempatan berusia 66 tahun mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

Katanya, beliau mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 daripada kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452). Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April dan disahkan meninggal dunia 12.05 tengah hari tadi.

Menurutnya, kes kematian ke-72 (kes ke-537) adalah lelaki tempatan berusia 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung, telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi tadi.

“Kes kematian ke-73 (kes ke-2399) adalah lelaki tempatan berusia 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac lalu. Beliau disahkan meninggal dunia jam 12 tengah hari tadi,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, Covid-19 telah menjangkiti 184 orang yang disahkan positif hari ini, menjadikan jumlah kes positif jangkitan itu adalah sebanyak 4,530 kes.

Katanya, seramai 72 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 38 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 165 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 1,965 kes iaitu 44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here