Covid-19 : Tiga rakyat Malaysia antara kes baharu di Singapura

0
183

SINGAPURA – Tiga rakyat Malaysia menjadi antara 596 kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura dengan seorang pesakit dikaitkan dengan asrama Kranji Lodge, satu daripada lebih 20 asrama kluster pekerja asing di negara itu.

Kes itu menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kluster asrama kini sebanyak tujuh orang manakala 95 rakyat Malaysia dilapor dijangkiti virus itu di negara berkenaan.

Laporan Bernama yang memetik data harian dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu semalam mengesahkan lelaki berusia 55 tahun dan dua lagi yang positif itu merupakan pemegang permit bekerja.

Selain daripada kluster asrama, lebih 20 rakyat Malaysia di negara itu dikaitkan dengan kluster lain iaitu ABC Hostel, Mustafa Centre, McDonald Singapura, SAFRA Jurong, SingPost, Project Glory, dan TTJ Design & Engineering Pte Ltd.

Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah kes Covid-19 di Singapura mencatatkan 6,588 dengan 4,706 kes diklasifikasi sebagai penghuni asrama, 305 melibatkan pemegang permit bekerja yang tidak mendiami asrama, 1,008 kes komuniti, dan 569 ialah kes diimport.

Dengan jumlah terbaharu itu, Singapura yang mencatatkan kes pertama Covid-19 pada 23 Jan telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, mengatasi kes di Indonesia.

Sehingga kini, 768 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 11 meninggal dunia.

Setakad ini, Singapura mewartakan 12 asrama yang dijangkiti sebagai kawasan pengasingan dengan kebanyakan asrama yang dijangkiti itu dihuni oleh warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here