Covid-19 : Warga emas berumur 60 tahun ke atas paling terjejas

0
108

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah kumpulan paling terjejas dengan wabak Covid-19 di mana terdapat banyak kes jangkitan dan kematian dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.

“Statistik menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif Covid-19 berbanding kumpulan umur yang lain, iaitu 20 tahun sehingga 24 tahun dan juga 56 tahun sehingga 59 tahun.

“Ini dapat dilihat pada carta bilangan kes positif Covid-19 mengikut umur. Namun apabila statistik bilangan kes Covid-19 ini dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dapat dilihat bahawa kadar insiden Covid-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan juga 60 sehingga 64 tahun,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, statistik kes kematian Covid-19 yang telah direkod setakat ini pula menunjukkan bahawa 62.6 peratus daripada kes kematian adalah berumur 60 tahun ke atas.

“Jika dilihat daripada faktor komorbiditi, didapati 80.7 peratus kes kematian menghidap penyakit kronik misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan adalah penting bagi kumpulan warga emas untuk mendapatkan rawatan segera walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.

“Adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga misalnya anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas supaya memastikan golongan warga emas mendapatkan rawatan segera jika tidak sihat.

“Selain itu pastikan juga bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temujanji rawatan, barangan keperluan harian mencukupi serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi misalnya dan mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangya satu meter,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here