Covid-19: Yayasan Petronas sumbang 100 katil elektrik ICU

0
126
Sebahagian katil elektrik ICU yang diterbangkan dari China ke Malaysia

CYBERJAYA – Yayasan Petronas menyumbang sebanyak 100 buah katil elektrik unit rawatan rapi (ICU) kepada Kementerian Kesihatan bagi merawat pesakit Covid-19.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, katil-katil tersebut ditempah khas dari Pukang Medical Equipment iaitu sebuah pengilang kelengkapan perubatan yang terbesar di Hebei, China.

Beliau berkata, sebahagian daripada 100 buah katil ICU itu telah tiba di Malaysia kelmarin dan diedarkan ke hospital kerajaan semalam.

“Untuk membawa masuk 100 buah katil ICU yang beratnya 250 kilogram setiap unit ini bukanlah perkara yang mudah. Ianya hanya dapat diangkut ke Malaysia dengan menggunakan tiga pesawat.

“Memandangkan pihak berkuasa penerbangan China (CAAC) telah menyekat kemasukan warga negara asing ke negara mereka sejak 28 Mac yang lalu, maka Kementerian Pengangkutan terpaksa meminta bantuan CAAC supaya membenarkan Teleport, cabang logistik dan kargo AirAsia untuk berlepas ke Tianjin dan Beijing untuk memunggah kesemua 100 buah katil ICU ke Malaysia secara berperingkat,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, akhirnya CAAC mengizinkan pesawat pertama AirAsia jenis Airbus330 terbang ke Tianjin kelmarin untuk mengangkut 28 buah katil ICU tersebut.

Katil-katil tersebut ditempah khas dari Pukang Medical Equipment iaitu sebuah pengilang kelengkapan perubatan yang terbesar di Hebei, China

“Kita masih lagi menanti isyarat daripada CAAC untuk mengaturkan pesawat AirAsia mengangkut baki 72 buah katil ICU dalam tempoh terdekat.

“Katil ICU ini membantu menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan. Terima kasih Yayasan Petronas, Teleport, AirAsia Kargo, pihak Kedutaan China di Malaysia dan pihak Wisma Putra yang mempermudahkan urusan pengangkutan katil ICU dari negara China ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ka Siong turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas yang bermurah hati menyumbang katil tersebut. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here