‘Demi ibu bapa, keluarga, kami reda’ – sikap positif mahasiswi berdepan Covid-19

0
233

CYBERJAYA – Demi tidak mahu menjadi punca penularan wabak Covid-19 dijangkiti ahli keluarga, tindakan kerajaan untuk tidak membenarkan mahasiswa pulang ke pangkuan keluarga mendapat reaksi pelbagai pihak.

Ada yang menyifatkan tindakan tersebut ‘menganiaya’ mereka kerana sudah terlalu lama berada di kampus sedangkan kebajikan sentiasa dijaga dan diambil peduli oleh kerajaan.

Namun seorang mahasiswi yang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini berfikiran sebaliknya yang tetap cekal berada di kolej kediaman bagi mengelak menjadi punca penularan wabak itu kepada ahli keluarga.

Dalam komennya menerusi status akaun Facebook, mahasiswi itu dikenali sebagai Wan Rasidah berkata, dia reda tidak dapat pulang kerana tidak mahu menjadi punca kepada keluarganya nanti.

Tambahnya, sebaliknya perkara itu perlu difikirkan dari sudut positif apabila ramai pelajar Malaysia di luar negara tidak dapat pulang ke tanah air sebaliknya terus berada di tempat masing-masing.

“Memang betul kami nak balik sangat-sangat tapi memikirkan keadaan sekarang yang belum reda (Covid-19), lebih baik duduk di kolej kediaman masing-masing.

“Saya ambil positif daripada seorang sepupu saya yang masih di perantauan. Semua orang diuji. Tabah dan sabar semua. Terus kuat dan jaga keselamatan,” katanya.

Menurut Wan Rasidah, dia bersyukur kerana makan minum mereka masih terjaga dan menyifatkan ramai lagi pelajar di perantauan tidak dapat pulang ke bertemu keluarga.

“Kalau mereka boleh, kita pun boleh,” katanya yang mendapat lebih 1,900 tanda suka dan 113 komen daripada warga maya.

Kenyataan itu disambut baik warga maya yang menyifatkan mahasiswi itu tabah dalam mengharungi cabaran wabak Covid-19 ketika ini.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali Raja Nurul Ain mengucap tahniah kepada mahasiswi itu dan memaklumkan dua adiknya turut terkandas di kampung masing-masing iaitu seorang di Universiti Sains Malaysia dan seorang lagi di Vancouver, Kanada.

“Mereka berpendirian sama macam adik, tidak mahu risikokan orang lain terutama ibu bapa yang termasuk dalam golongan berisiko tinggi jika dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Bagi Mohd. Muhaimin Fitri, dia memuji tindakan mahasiswi itu yang disifatkan mempunyai pemikiran matang.

Seorang lagi pengguna akaun Facebook, Zurina AL, dia memberitahu anaknya di Rusia juga memilih tidak mahu pulang sekiranya diberi peluang kerana tidak mahu mengambil risiko di atas kapal terbang nanti.

“Dia bimbang akan membawa bersama jangkitan kepada kami sekeluarga. Saya reda kerana saya mungkin hanya dapat bertemu dengannya di tahun hadapan. Semoga Allah permudahkan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here