Dengan bangga tayang topeng muka ‘percuma’ dari hospital

0
306

CYBERJAYA – Tindakan seorang wanita menayangkan beberapa kotak topeng muka yang diperolehi secara ‘percuma’ dari Hospital Serdang dekat sini mengundang padah apabila dikecam warga maya.

Tanpa rasa bersalah, pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Zahlelawati Niene itu membuat pengakuan mendapat stok topeng muka, sarung tangan dan cecair pencuci tangan daripada abangnya yang bertugas di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah sempat ambil barang2 nie kat Serdang. Mask, glove dan sanitizer. Jimat banyak dah dekat sini. Tak payah susah nak beli.

“Mask dah habis. Abang Niene banyak stok. Orang kerja hospitalkan. Dari beli mahal nak buat apa, rugi jer, pakai buang pulak tu.

“Baik beli tudung mahal-mahal, sampai bertahun-tahun juga tahunnya,” katanya melalui hantaran yang dikongsi seorang doktor, Mohd. Khairul Izwan yang menggesa wanita berkenaan memulangkan semula barang-barang milik kerajaan itu.

Hantaran Facebook oleh seorang wanita yang mengaku menerima stok topeng, sarung tangan dan cecair pencuci tangan daripada abangnya yang bertugas di Hospital Serdang.

Melalui pengakuan wanita itu semalam, Mohd. Khairul menjelas perbuatan itu sebagai satu kesalahan mencuri melalui abangnya yang merupakan kakitangan hospital berkenaan.

Bahkan perbuatan itu juga dianggap keterlaluan ketika kebanyakan kakitangan hospital kini terpaksa menjahit sendiri peralatan keperluan harian kerana kesuntukan stok.

“Buat pengetahuan saudari, barang-barang yang saudari ambil tersebut merupakan item yang sangat-sangat diperlukan oleh barisan frontliners yang bertugas bertungkus-lumus untuk membendung wabak Covid-19 di hospital dan fasiliti kesihatan.

“Dengan mengambil barangan tersebut, bermakna semakin berkuranglah kelengkapan tersebut untuk wira-wira negara kita gunakan dan semakin meningkatkan risiko diri mereka untuk dijangkiti virus tersebut.

“Barang yang saudari curi merupakan hak milik kerajaan, dan perbuatan saudari boleh mengundang padah buat diri saudari serta abang saudari. Abang saudari juga boleh berdepan dengan risiko dikenakan tindakan tatatertib akibat perbuatan kalian,” katanya.

Selepas tular dan menerima kecaman di laman sosial hari ini, wanita berkenaan dikatakan telah menyahaktifkan akaun Facebooknya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Serdang dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap isu berkenaan sebelum tindakan tegas diambil. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here