Disiplinkan diri hadapi pasca PKP

0
465

Kawalan pergerakan sepanjang PKP menyedarkan kita betapa penting langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencegah jangkitan.

OLEH: Azrai Mohammad

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu banyak mengubah kehidupan harian kita sekali gus membuka minda kepada perkara yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini.

Sedar atau tidak, boleh dikatakan hampir 80 peratus operasi harian kita telah berubah disebabkan peraturan tersebut.

Itulah hakikat yang yang harus kita lalui demi meneruskan kelangsungan hidup secara terkawal dan terhad. Pendek kata, PKP telah mengajar kita erti disiplin walau apa sekali pun pangkat dan darjat kita. 

Baik yang berada di pedalaman Ulu Baram, Sarawak mahu pun di Istana Negara, semuanya perlu patuh kepada perintah PKP.

Penulis bukan mahu mengulas implikasi ekonomi yang terkesan teruk akibat situasi meruncing ini, namun antara perkara besar yang perlu diteliti ialah bagaimana kita perlu mendisiplinkan diri untuk mengubah gaya hidup dengan amalan-amalan yang mampu menghindari wabak ini pada pasca PKP nanti.

Pada 3 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada satu sidang akhbar berkata, amalan yang diterapkan ketika ini bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 perlu diteruskan dalam kehidupan masyarakat untuk satu jangka masa yang agak panjang.

Di samping itu, tambah beliau, pihaknya juga tidak menggalakkan perhimpunan melibatkan orang ramai bagi tempoh enam bulan hingga setahun. 

Benarlah seperti ungkapan ‘penyakit ini datang bagai kilat, perginya bagai siput’.

Persoalannya, bersediakah kita mengharungi kehidupan tanpa amalan biasa waima bersalaman bersama-sama saudara mara sepanjang tempoh itu?

Misalnya, isu yang hangat diperkatakan ketika ini ialah tradisi bazar Ramadan yang dijangka disambut selepas 10 hari PKP Fasa II berakhir pada 14 April depan.

Selain lubuk makanan, bazar ini juga merupakan lubuk peniaga kecil untuk menambah pendapatan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Jadi atas faktor-faktor itu, boleh dijangka akan wujud kelompok masyarakat yang akan ‘berkeras’ untuk meneruskan tradisi ini.

Begitu juga majlis kenduri kahwin yang telah diatur sejak tahun lalu iaitu pada cuti sekolah Mei nanti. Difahamkan ada keluarga pengantin telah membayar pelbagai tempahan bagi majlis besar-besaran.

Dalam hal ini, kesihatan dan nyawa kita adalah yang lebih utama. Tidak perlulah terlalu ikutkan nafsu untuk berlebih-lebihan. Jika kita memikirkan jangka masa panjang, sudah pasti kesihatan itu lebih penting.

Begitu juga soal bekerja dari rumah. Walaupun ada ‘pro & cons’, kita perlu memperbanyakkan konsep bekerja dari rumah dan lebih utama mampu menyelesaikan ‘urusan-urusan rasmi’ dengan pemantauan minimum oleh majikan.

Tambahan pula dengan kemunculan aplikasi seperti Zoom yang membolehkan perbincangan dilakukan secara dalam talian dengan efisien.

Bukan sahaja bekerja, malah proses pembelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga institut pengajian tinggi (IPT) juga perlu banyak menggunakan kaedah sama.

Walau pun masih ada majikan atau guru yang lebih selesa berbincang secara bersemuka di pejabat atau di kelas, alternatif melalui medium dalam talian perlu diutamakan.

Dalam pada itu, satu lagi perkara yang mengubah landskap kehidupan rakyat secara mendadak bagi tempoh PKP ini ialah urusan pembelian secara dalam talian.

Jika dulu, ramai yang masih skeptikal dengan pembelian barang runcit secara dalam talian ini, kini slot penghantaran barang oleh pasaraya terpaksa menunggu hingga dua minggu, runner atau personal shopper muncul bak cendawan lepas hujan. Ia menjadi punca pendapatan baharu.

Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti lepak kedai mamak, konvoi motosikal atau jalan-jalan cari makan. Semuanya perlu diubah dengan mengambil kira risiko jangkitan wabak berkenaan.

Kesimpulannya, kita semua perlu bersedia mendisiplinkan diri dan terus kekal dengan cara ini. Kita masih berbaki tidak sampai dua minggu untuk menamatkan PKP Fasa II jika ia tidak dilanjutkan lagi. 

Jadi, inilah masa kita untuk beralih daripada fasa pembelajaran menangani wabak Covid-19 kepada fasa menghadapi realiti dengan tenang dan terancang. Kita wajib hadapinya dengan cara yang kita pilih.

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here