Doktor Muslim wira di Amerika Syarikat

0
745
Dr. Saud Anwar yang menghasilkan tiub penyambungan ventilator untuk kegunaan lebih ramai pesakit covid-19.

AMERIKA SYARIKAT – Seorang doktor di Connecticut Timur yang menghasilkan tiub penyambungan ventilator bagi membolehkan tujuh pesakit Covid-19 menerima rawatan ventilasi serentak dijulang sebagai ‘wira’.

Usaha yang dilakukan oleh doktor paru-paru kelahiran Pakistan, Dr. Saud Anwar itu bukan sahaja berjaya memaksimumkan keupayaan mesin ventilator bahkan menyelamatkan banyak nyawa yang terdedah kepada maut akibat kekurangan alat itu.

Beliau yang bertugas di Hospital Manchester Memorial, menghasilkan tiub penyambungan itu menggunakan mesin pencetak 3 dimensi dan turut berkongsi kaedah penggunaannya kepada dunia melalui media sosial.

Sebagai mengenang jasanya, penduduk di Windsor Selatan baru-baru ini membuat kejutan dengan berarak di hadapan rumah Dr. Saud yang juga Datuk Bandar di Connecticut Timur.

Dalam perarakan yang disertai puluhan buah kenderaan itu, orang ramai membunyikan hon dan memberi lambaian sebagai ucapan penghargaan dan terima kasih.

Sebahagian daripada mereka menggunakan sepanduk dan poster berbunyi “Dr. Saud Anwar, keberanian anda inspirasi kami! dan “Terima Kasih atas keperwiraan anda”.

Tersentuh dengan penghargaan itu, Dr. Saud yang sempat keluar di halaman rumahnya berkata, kejutan itu menjadikan kerjayanya sebagai doktor cukup berbaloi meskipun terpaksa menjalani kehidupan berasingan ketika wabak Covid-19.

Saat yang sempat dirakam oleh ahli keluarga beliau itu kemudian dikongsikan oleh Dr. Saud dalam laman Facbook miliknya dengan kapsyen berbunyi;

“Terima kasih kepada mereka yang datang membuat kejutan kepada saya hari ini. Dengan rendah diri saya rasa cukup terharu dan gembira dengan kasih sayang yang kalian tunjukkan.

“Saya rasa bertuah menjadi sebahagian daripada komuniti dan berpeluang bekerja dengan petugas kesihatan terbaik yang saya hormati dan sayangi. #ViralKindness,” katanya seperti dilapor di beberapa portal berita negara berkenaan.

Selain bergelar doktor perubatan, Dr. Saud juga menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Perubatan Dalaman Jaringan Kesihatan Connecticut Timur. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here