Dua dipercayai dalang penyeludupan PATI diberkas

0
790

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menangkap dua suspek disyaki dalang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang beroperasi di sekitar utara dan selatan Semenanjung.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan di bawah ‘Op Dallal’ melibatkan urus niaga penyeludupan manusia.

Beliau berkata, `Dallal’ dalam bahasa Bangladesh bermaksud panggilan yang digunakan kepada agen-agen darat.

“Tangkapan pertama dibuat pada 17 April lalu ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya berusia 36 tahun, pemegang kad UNCHR di sebuah rumah teres beralamat No 508, Fasa 2, Taman Bersatu, Simpang Empat, Kedah.

“Semasa serbuan dibuat suspek bersembunyi di atas siling rumah berkenaan, namun berjaya dikesan dan ditangkap oleh penguatkuasa Maritim Malaysia.

“Siasatan juga mendapati suspek merupakan adik ipar kepada dalang utama aktiviti jenayah penyeludupan PATI yang aktif beroperasi di utara dan selatan Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zubil Mat Som

Mohd. Zubil berkata, pada 19 April lalu tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya, berusia 31 tahun di sebuah rumah teres tidak bernombor Batu 20, Jalan Yan Pekan, 08800 Guar Chempedak Kedah.

Katanya, kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang dan tekong darat dalam urusan keluar masuk PATI dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, suspek boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, siasatan lanjut mendapati mereka membayar sejumlah wang tidak kurang daripada RM15,000 setiap seorang kepada agen bagi urusan kemasukan ke Malaysia.

Tambah beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Malaysia kini sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan dalang utama dan disyaki masih berada di sekitar utara Semenanjung.

“Suspek disyaki merupakan dalang utama yang berperanan mengatur kemasukan PATI bagi permintaan di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Johor,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here