E-bazar pandu lalu di gerai tidak dibenarkan

0
100

CYBERJAYA – Kerajaan hanya membenarkan e-bazar yang bakal beroperasi dalam bulan Ramadan ini dibuat secara pesanan dalam talian dan dihantar terus ke rumah pelanggan menggunakan sistem e-hailing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini.

“Selain itu, ada dua lagi konsep yang dicadangkan iaitu panggilan pesanan dan mengambil di gerai-gerai yang disediakan dan konsep kedua ialah pandu lalu.

“Kabinet meminta perkara ini diperhalusi sebab kebimbangan kita ialah daripada jumlah kenderaan yang terlibat apabila konsep pandu lalu diperkenalkan dan kita bimbang ramai akan keluar serentak,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, katanya, jika konsep tersebut dibenarkan kemungkinan besar mereka yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akan menggunakan alasan baharu itu untuk melepasi sekatan polis.

Sementara itu, ditanya keputusan Perlis untuk membenarkan peniaga bazar bernaga di bahu jalan katanya, pihaknya akan menyelaraskan satu prosedur operasi standard (SOP) supaya semua pihak dapat mematuhinya.

“Soal negeri tertentu buat keputusan sendiri, kita percaya setelah ada SOP tertentu kita akan selaraskan antara negeri dan lain-lain.

“Sebab itu bila sebut e-bazar, kita juga minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga meneliti perkara ini, sebab pihak berkuasa tempatan (PBT) berada di bawah mereka.

“Walaupun mereka ada kuasa tetapi selepas ini apabila SOP diselaraskan tiada lagi perbezaan antara keputusan negeri dan pusat,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here