Elak kluster gunting rambut di Malaysia

0
245

CYBERJAYA- Orang ramai dan pemilik premis gunting rambut yang dibenar beroperasi semasa fasa tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Public Health Malaysia menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya menyatakan, langkah pencegahan dan kerjasama penuh daripada kedua-dua pihak berkenaan perlu bagi mengelakkan pewujudan kluster baharu Covid-19.

“Faktor risiko perebakan Covid-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis iaitu sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menyarankan agar pemilik premis memastikan mereka tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema, melakukan disinfeksi harian premis, menyediakan ruang pengudaraan yang baik dan mengawal kemasukan pelanggan serta membersihkan rambut yang sudah digunting.

Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan pula perlu disaring dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk, menggunakan penutup mulut dan hidung (sekiranya bergejala), membasuh tangan sebelum memasuki premis dan duduk serta menjaga jarak sosial.

Public Health Malaysia turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa bersedia mempersiapkan diri ke arah budaya kehidupan baharu yang mengutamakan langkah pencegahan wabak Covid-19 dalam semua aktiviti harian.

Menerusi kenyataan itu, warga maya turut meninggalkan komen dan rata-rata mereka mahu kerajaan membuat pertimbangan semula terhadap kebenaran berkenaan bagi mengelak wujudnya kluster gunting rambut di negara ini.

Antaranya Nuk Akmal, yang mahu kedai gunting rambut kekal ditutup sepanjang pelaksanaan PKP kerana risiko sangat tinggi dan manfaat jika ianya dibuka tidak menyeluruh.

Nurul Aminin pula berkata, sepatutnya PKP yang memasuki fasa ketiga lebih tegas dan perintah berkurung perlu dilaksanakan. Tetapi kerajaan pula galakkan premis dibuka, tindakan itu boleh menyebabkan PKP sebelum ini hanya sia-sia sahaja.

Dalam pada itu, Matt Tempe berkata, beliau kurang setuju dengan kelonggaran kepada kedai gunting rambut kerana peralatan yang sama digunakan, jika perlu dibuka perlu tunggu sehingga virus Covid-19 betul-betul hilang dari radar.

Semalam, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here