Elak orang ramai pulang ke kampung, PDRM tambah sekatan jalan raya

0
201

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah sekatan jalan raya bagi mengelak masyarakat pulang ke kampung bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat ura-ura ada segelintir rakyat mahu berbuat demikian memandangkan umat Islam akan menyambut puasa minggu depan.

“Oleh kerana tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga lebih keras akan diambil, kita menjangka mungkin ada ura-ura masyarakat pulang ke kampung menyambut puasa dan sebagainya. 

“Polis akan menambah sekatan jalan raya sama ada di ibu negara atau di mana sahaja bagi memastikan kawalan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu mengenai operasi sekatan jalan raya semalam, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 816 sekatan dibuat diseluruh negara dengan pemeriksaan 585,250 kenderaan dilakukan.

Beliau berkata, jumlah kenderaan itu lebih banyak berbanding hari-hari sebelumnya. 

Selain itu tambahnya, sebanyak 54,781 pemeriksaan mengejut dilakukan dan 4,788 premis diperiksa oleh pihak berkuasa di seluruh negara.

“Mengenai tangkapan semalam, PDRM telah menahan 1,565 individu berbanding 1,070 individu pada hari sebelumnya menunjukkan semakin ramai melanggar PKP fasa tiga,

“Sebanyak 1, 381 telah direman, 184 individu diberikan jaminan polis manakala 544 individu telah dituduh di mahkamah kerana mengingkari PKP,” katanya sambil memberitahu jumlah kumulatif tangkapan adalah seramai 14,639 individu sehingga semalam.

Berkenaan berita palsu pula, beliau berkata, sehingga hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan PDRM telah membuka 220 kertas siasatan berkaitan dengan Covid-19.

“Daripada jumlah itu sebanyak 152 kes masih dalam siasatan, 24 kes didakwa di mahkamah dan 13 individu mengaku salah. 11 Orang pula telah diberikan notis amaran manakala 32 orang lagi telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here