4 konsep ‘saudara’ kunci pembangunan ekonomi Islam

0
277

RAUDHAH CITY – Penularan wabak Covid-19 yang memberi pelbagai impak kepada dunia ketika ini wajar dijadikan batu loncatan untuk umat Islam kembali kepada ajaran agama itu secara ‘totaliti‘.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, walaupun dunia melihat Covid-19 sebagai ancaman yang cukup ditakuti, ia wajar menjadi detik kebangkitan sistem ekonomi Islam.

Sebagai teras kepada sistem ekonomi Islam untuk menggantikan sistem kapitalis, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menggariskan empat konsep saudara dalam ekosistem dan hubungan perniagaan.

“Konsep ‘saudara’ ini melibatkan empat komponen iaitu saudara pengguna, saudara pekerja, saudara usahawan dan saudara pelabur.

“Penekanan kepada konsep saudara adalah untuk meningkatkan interaksi dan membentuk akhlak kita ke arah lebih bersih dalam perniagaan.

“Sistem ekonomi Islam begini yang perlu menjadi asas kepada niat kita yang pastinya membawa akhlak kita ke arah sunnah Nabi,” katanya melalui siaran langsung dalam laman Facebook ESQ 165 Malaysia hari ini.

Perbincangan secara maya bertajuk Kunci Kebangkitan Diri itu melibatkan beliau dengan pakar motivasi ESQ Indonesia, Dr. Ary Ginanjar Agustin.

Mohd. Fadzil Hashim

Coach Fadzil berkata, konsep saudara pengguna membentuk pemilik atau rakan kongsi dalam perniagaan menghargai pelanggan atau pengguna sebagai saudara.

Tambah beliau, manakala dalam konsep saudara pekerja, hubungan antara majikan dan pekerja diperhalusi supaya tiada yang dizalimi atau diperah seperti hamba abdi.

“Tanpa nilai-nilai seperti ini, kita lihat ada yang diperah semaksimum mungkin dengan bayaran seminimum mungkin. Sebab itu kita perlu keluar dari sistem kapitalis,” katanya.

Konsep ketiga katanya, adalah saudara usahawan yang membentuk halu tuju usahawan sebagai ejen penyelesaian masalah dalam masyarakat melalui sumbangan yang dapat mereka berikan.

“Terakhir sekali adalah, saudara pelabur iaitu hubungan antara usahawan dengan ‘pemberi pinjaman atau dana’ untuk membantu peniaga-peniaga kecil berkembang lebih maju.

“Sistem ekonomi Islam begini yang perlu menjadi asas kepada kita bertepatan dengan sunnah Nabi yang mengatakan bahawa tidak sempurna iman kita jika kita tidak mencintai saudara kita sebagaimana kita mencintai diri kita,” katanya.

Justeru itu katanya, umat Islam tidak lagi boleh terus bertangguh dalam usaha memperkasakan sistem ekonomi Islam kerana zaman kebangkitan semula telah tiba.

“Kita sepatutnya menggunakan kekuatan rohani sebagai kunci kebangkitan diri dalam konteks pembangunan ekonomi.

“Kita kena lancarkan pelan tindakan untuk bersatu sekarang, sebab kalau ini dapat diterapkan maka konsep ‘saudara’ ini mampu menjadi asas sistem ekonomi Islam yang jauh lebih hebat daripada mana-mana sistem yang ada sekarang,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here