Geran Khas Prihatin perniagaan Mikro dibuka Jumaat ini

0
149

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan Geran Khas Prihatin bagi perniagaan mikro akan dibuka mulai Jumaat ini.

Beliau berkata, proses permohonan akan diselaras serta akan diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dalam masa terdekat.

Beliau menambah, selain itu, permohonan Program Subsidi Upah yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan dengan melibatkan satu juta pekerja kepada 195,000 majikan melibatkan 1.5 juta pekerja.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.35 bilion, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion pada minggu lalu,” katanya dalam siaran langsung akaun rasmi Facebook Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak RM4.5 bilion menerusi Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah diluluskan bagi 8,500 PKS.

Tambah beliau, ia merupakan peningkatan daripada RM2.7 bilion untuk 5,000 PKS minggu lalu.

“Bermula 23 April lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan e-CAP bertujuan membantu PKS yang layak dalam menguruskan aliran tunai bulanan perniagaan.

“Program ini membolehkan majikan yang mempunyai sehingga 200 pekerja memohon penangguhan dan penstrukturan Bayaran Caruman Syer Majikan untuk caruman bulan April, Mei dan Jun (iaitu pada bulan Mac, April dan Mei 2020),” ujarnya.

Kata beliau, bagi PKS mempunyai lebih 200 pekerja, jika mereka perlu penyelesaian yang berlainan dari apa yang ditawarkan melalui program e-CAP, mereka boleh menghubungi KWSP untuk pertimbangan, dengan syarat PKS mempunyai rekod bayaran caruman yang baik sebelum bermulanya wabak Covid-19. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here