Geran khas Prihatin RM2.1 bilion untuk PKS berkelayakan

0
152


Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mewujudkan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat perniagaan mikro dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkelayakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Mubyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menyediakan
geran khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Menurutnya, PKS mikro perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan akan memperoleh senarai PKS mikro yang layak daripada pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Selain itu, kerajaan juga menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk
memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama enam bulan bermula April 2020, seperti mana yang telah diberikan oleh pihak bank,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau juga berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka.

Katanya lagi, di samping meringankan beban kewangan PKS, kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here