Go Eat perkenal Go Bazar bantu peniaga Bazar Ramadan

0
258

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA- Para peniaga Bazar Ramadan masih berpeluang menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan ini menerusi aplikasi Go Bazar yang diperkenalkan oleh syarikat penghantaran makanan, Go Eat.

Aplikasi Go Bazar diperkenalkan selaras langkah kerajaan untuk membasmi penularan virus Covid-19, supaya para usahawan dan peniaga dapat meneruskan mata pencarian mereka sepanjang Ramadan.

Pengarah Eksekutif dan Pengasas syarikat Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abd. Rahman berkata, Go Bazar akan beroperasi sepenuhnya sebelum bulan Ramadan bermula.

“Langkah ini sebagai inisiatif susulan pengumuman yang dibuat oleh beberapa kerajaan negeri seperti Kedah, Selangor, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadhan tahun ini.

“Inisiatif ini diambil demi membantu golongan berpendapatan kecil dan sederhana khasnya golongan B40, agar tidak dibebani tatkala punca pendapatan mereka terjejas teruk bahana situasi global yang melanda negara kita sejak Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, program tersebut memberi peluang kepada lebih banyak ‘homecook’ vendor berniaga pada bulan Ramadan.

“Kami mempunyai kapasiti yang cukup, ‘rider-rider’ bersih, cekap dan berpengalaman untuk mengambil makanan dan dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, Go Eat menyasarkan operasi ke seluruh negara mengikut kadar kapasiti yang mampu ditanggung oleh tenaga kerjanya.

“Go Bazar merupakan platform digital untuk urusan jual beli makanan secara dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan tradisional yang diadakan di seluruh negara saban tahun pada bulan yang mulia itu,” katanya.

Menurutnya, platform itu menggunakan transaksi pembayaran dalam talian sepenuhnya bagi memastikan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghentikan rantaian Virus Covid-19 terlaksana.

“Seluruh warga kerja Go Eat menggembleng tenaga dalam merealisasikan Go Bazar demi membantu rakyat Malaysia menghadapi krisis kewangan dan ekonomi keluarga.

“Justeru, keperihatinan Rakyat Malaysia menyokong kami, syarikat anak tempatan ini adalah amat dihargai bagi membolehkan hasrat untuk mengembangkan empayar Go Eat ke seluruh negara tercapai,” katanya.

Setiap pesanan makanan boleh dibuat melalui telefon pintar menggunakan aplikasi Go Eat yang boleh didapati di “Apple Store” dan juga “Google Playstore”.

Para peniaga yang berminat untuk menyertai Go Bazar boleh mendaftarkan diri di laman sesawang Go Eat di www.go-eat.com. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here