Gunting rambut tidak boleh kawal tekanan darah tinggi

0
184

CYBERJAYA – Penyakit darah tinggi tidak boleh dikawal dengan menggunting rambut sahaja, sebaliknya pesakit perlu mengambil ubat seperti yang telah disyorkan.

Doktor perubatan, Dr. Akmal Saleh berkata, seseorang pesakit darah tinggi wajib makan ubat yang disyorkan untuk mengawal penyakit darah tinggi yang dialami.

“Ramai yang bertanya kepada saya untuk mendapatkan kepastian sama ada benar gunting rambut dapat mengurang tekanan darah tinggi.

“Ada antara mereka sertakan ‘link’ kajian yang dijalankan, lebih-lebih lagi kenyataan itu dibuat oleh salah seorang bekas doktor perubatan,” katanya dalam status facebook miliknya hari ini.

Menurut Dr. Akmal , beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan mengikut bahasa yang paling mudah di fahami oleh rakyat Malaysia mengenai perkara itu.

“Kita baca kajian yang dijalankan itu, mereka maksudkan kajian itu dibuat berdasarkan dua keadaan bagi menilai keberkesanan kajian.

“Pertama, menggunakan ‘barber’ sebagai orang yang promosi penjagaan kesihatan melalui farmasi yang akan datang sendiri ke kedai tukang gunting itu.

“Kedua menggunakan ‘barber’ sebagai orang yang promosi penjagaan kesihatan melalui temu janji doktor di klinik,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Akmal berkata, ia bermaksud, tukang gunting digunakan mungkin tempat kedai itu orang ramai suka lepak dan tukang gunting digunakan sebagai ‘promoter’.

“Kalau di Malaysia ibarat orang suka lepak kedai mamak, jadi, setiap kali datang kedai mamak, mamak yang ambil pesanan akan bagitahu anda silalah ke klinik untuk periksa darah tinggi.

“Atau anda sendiri boleh periksa periksa darah tinggi di kedai mamak sahaja dengan bantuan ahli farmasi yang akan datang ke situ.

“Apa yang paling penting, kedua-dua kumpulan itu diberikan ubat darah tinggi yang sepatutnya, bukannya mereka tidak makan ubat langsung,” katanya.

Kesimpulannya, Dr. Akmal menjelaskan, darah tinggi tidak boleh dikawal jika tidak makan ubat, sesiapa yang menghidap penyakit ini wajib memakan ubat dan bukan gunting rambut sahaja.

“Jadi, harap apa yang telah diterangkan ini anda boleh faham. Tidak mahu selepas ini, anda minta doktor belajar gunting rambut pula,” jelasnya,-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here