Gunting rambut untuk kawal darah tinggi

0
281
Afif Bahardin . Gambar : Malaymail

CYBERJAYA – Pegawai kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mempertahankan keputusan menteri kanan tersebut untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dibuka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai tersebut, Afif Bahardin mendakwa, perkhidmatan itu antara lain perlu dibuka untuk membolehkan orang ramai mengawal darah tinggi.

Memetik laporan The Malaysian Insight, bekas exco kerajaan Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan bebenang dalam akaun Twitter miliknya mendakwa, kaitan menggunting rambut dan sakit darah tinggi itu disokong oleh kajian perubatan.

“Perkhidmatan gunting rambut mempunyai asas dari sudut kajian perubatan yang dilaksanakan oleh The New England Journal of Medicine menjelaskan bahawa perkhidmatan ini mampu mengurangkan tekanan darah tinggi; antara salah satu tekanan dihadapi rakyat Malaysia ketika ini,” katanya.

Tambahnya, langkah itu untuk membantu pengusaha gunting rambut yang terjejas dengan PKP kerana perusahaan tersebut juga dibenarkan dibuka kerana menggunakan jumlah tenaga sedikit.

Menurutnya, ia perlu beroperasi dengan garis panduan jagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat untuk mengekang penularan wabak dan pada masa sama menjamin kelangsungan ekonomi.

“Pengusaha kedai gunting rambut dan pelanggan mestilah bebas daripada segala simptom seperti demam dan batuk.

“Kedai juga perlu memastikan kerja-kerja disinfeksi dijalankan dan mengutamakan aspek kebersihan pada tahap tertinggi.

“Langkah penjarakan sosial juga perlu diterapkan dengan amalan perlindungan diri seperti kerap mencuci tangan dan memakai topeng muka juga perlu dilakukan disamping kerap mencuci alatan-alatan yang digunakan,” katanya.

Saranan tersebut bagaimanapun tidak meyakinkan ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk mengelak penularan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Pengguna media sosial itu antara lain meminta kementerian mendengar saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menolak rancangan tersebut.

Mereka turut mempersoalkan kajian yang mendakwa menggunting rambut dapat mengawal stres.

Pengguna itu antara lain membangkitkan bahawa kajian itu jelas menggariskan gunting rambut menurunkan darah tinggi apabila pesakit turut diberikan ubat sewajarnya.

Ada juga yang tidak yakin penjarakan fizikal dapat dikawal di premis gunting rambut.

“Siapa nak pantau? Nak kerah polis dan tentera duduk depan kedai gunting rambut? Merepek,” kata pengguna Twitter @farhanzulkefly.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here