Guru institusi pendidikan Islam terima ‘one off’ RM800

0
91

CYBERJAYA – Sebanyak RM21 juta diperuntukkan bagi bantuan ‘One Off’ kepada pusat tahfiz swasta, pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, bantuan itu diberikan kepada guru di institusi pendidikan tersebut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Menurut beliau, arahan itu menyebabkan mereka terjejas dari sudut pengurusan operasi dan sara diri.

“Bantuan sara hidup kepada guru-guru dengan kadar RM800 seorang yang akan memberi manfaat kepada 22,920 orang.

“Selain itu, bantuan pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan lain-lain perbelanjaan operasi kepada 2,119 buah institusi pendidikan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli menambah, bantuan tersebut adalah daripada RM100 juta yang disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibawah Bajet 2020.

Kata beliau, ia bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naik taraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.

“Penghargaan ditujukan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan tersebut.

“Besarlah harapan saya supaya bantuan ini dapat meringankan beban warga institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat PKP,” ujarnya. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here