Hajat wanita OKU jumpa Ebit Lew termakbul

0
297

CYBERJAYA – Video tular seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dalam media sosial semalam menarik perhatian pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mengunjungi kediaman wanita itu hari ini.

Menerusi perkongsian akaun rasmi Facebook Ustaz Ebit, beliau menangis ketika melihat video berkenaan apabila seorang anggota tentera memakaikan penutup muka kepada wanita itu.

Ustaz Ebit berkata, seawal pagi beliau keluar mencari kediaman wanita wanita itu yang dikenali Noraini Wong.

Tambah beliau, sebaik tiba di rumah tersebut beliau melihat ada seorang anak muda di rumah wanita itu.

“Setiba di rumah itu, ia tak nak buka pintu. Apabila saya sampai buka topeng muka, wanita itu menangis. 

“Dia kata ustaz Cina penceramah televisyen, Ebit Lew. Saya selalu doa menangis nak jumpa ustaz. Saya tak pandai Islam nak berdakwah macam ustaz,” kongsinya.

Mendengar ayat tersebut, Ustaz Ebit terasa sangat sebak dan menambah, kakak Noraini itu meluahkan segala kisah hidupnya sehingga mereka yang berada di situ turut menangis.

Ustaz Ebit berkata, wanita itu menceritakan kisah hidupnya dari kecil sehingga sekarang membuatkan mereka yang berada di rumah tersebut tidak dapat menahan sebak.

“Kakak Noraini kata dia menjual kacang di tepi jalan namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dia tidak jual lagi.

“Dengan kerusi roda itu dia ke sana sini untuk mencari rezeki. Allahuakbar.  Wanita itu sikit pun tak mengharapkan sesiapa,” katanya.

Lebih mengejutkan dan membuatkan Ustaz Ebit menangis, rumah yang diduduki kakak Noraini itu dibeli dengan duitnya sendiri. 

Ustaz Ebit berkata, sepanjang berbual dengan wanita itu, dia telah memeluk Islam pada usia 20an.

“Dari mula kakak ini menangis. Tanya tentang Islam. Dia betul-betul kenal saya. Dia kata saya dulu berisi sikit.

“Wanita itu berkata dia tak pandai mengaji, kadang solat Tahajud susah nak bangun berwuduk,” katanya.

Ustaz Ebit memberitahu, wanita itu sentiasa berdoa untuk berjumpa dan akhirnya dimakbulkan Allah sambil memberitahu gembira kerana dapat berjumpa dengannya.

“Ada lagi cita-cita lebih besar oleh wanita itu kerana mahu berjumpa ibunya yang sudah 14 tahun tidak bertemu. Dia asyik menangis rindu mak, tapi takut.

“Insya-Allah saya akan bantu. Pohon doa semua. Saya minta kakak Noraini doakan saya. Tiga doa saya minta dia tolong doakan saya,” ujarnya.

Sebelum Ustaz Ebit berlalu pergi, beliau mengambil telefon nombor adiknya di Singapura untuk mendapatkan nombor telefon ibu wanita itu dan meminta semua berdoa semoga dapat membawa wanita tersebut bertemu dengan ibunya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here