Hari air mata buat Ustaz Ebit Lew

0
812

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 merupakan satu hikmah berikutan ada segelintir masyarakat masih hidup dalam kesusahan dan memerlukan bantuan serta perhatian daripada pihak berwajib.

Pelbagai pihak tidak kira individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan sendiri berusaha membantu mereka yang terjejas supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun perkongsian pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew kali ini begitu terkesan buat dirinya kerana tidak menyangka di tengah-tengah ibu kota masih ada lagi rakyat hidup dalam kemiskinan.

Hari air mata buat Ustaz Ebit kali ini apabila dia memasuki kawasan kaum Cina yang dianggap seperti datuk dan neneknya.

“Hari air mata. Tak boleh tahan air mata masuk kawasan chinese (kaum Cina). Semua macam datuk dan nenek saya. Saya Cina. Sebak bila ada ramai makcik menangis bila bagi duit belanja dan barang dapur.

“Mereka siap doakan dan beri ucapan yang buat saya sebak. Maafkan saya pakcik makcik semua baru hari ini saya datang ke sini. Sedih rasa,” katanya menerusi perkongsian dalam akaun Facebook milik beliau hari ini.

Perkongsian yang dimuat naik dua jam lalu mendapat lebih 24,000 tanda suka dan sedih;perkongsian 2,300 dan lebih 1,100 komen daripada warga maya.

Tambah Ustaz Ebit, kali ini kunjungannya begitu mengejutkan kerana beliau berjumpa mereka yang semuanya tinggal seorang diri.

“Rumah pun teruk. Tak sangka sekitar Kuala Lumpur ada rumah begini dan ada yang rumahnya tiada air, Pakai perigi lagi. Ada ramai pakcik makcik cuma ada basikal. Sayunya hati,” katanya.

Walaupun cuma dapat bawa sedikit kegembiraan kepada mereka, katanya, ada yang mengejarnya dengan membawa kad pengenalan untuk memohon bantuan.

“Sedih saya lihat. Saya beritahu pakcik makcik tak payah bagi saya kad pengenalan. Semua boleh,” ujarnya.

Apa yang membuatkan Ustaz Ebit sayu melihat kediaman mereka bersih walaupun hidup dalam kesusahan.

Selain itu, beliau berkata, semasa memberikan sumbangan kepada golongan tersebut mereka tunduk seperti cara orang Jepun tanda sebagai terima kasih.

“Sayu rasa siap ada yang tiba-tiba ada yang tunduk sangat macam orang Jepun. Cakap terima kasih. Ulang kali mereka angguk-angguk terima kasih,” katanya.

Apa yang lebih mengharukan kata beliau, kehadirannya ke kawasan itu seperti menziarahi keluarganya sendiri kerana ada antaranya meminta tolong untuk mencari anak-anak mereka. 

Beliau memberitahu, dia menangis ketika dalam kereta melihat keadaan kawasan itu yang perlu diberi perhatian pihak berwajib.

“Ada kerja toreh getah tapi dah tua tak sihat nak buat semua itu. Ada makcik umur dah 90 tahun duduk seorang diri. Dalam kereta tadi menangis jer rasa sebak. Jarang saya menangis begini. Betul-betul rasa insaf dan bersyukur,” ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada insan bernama abang Lechumanan, Hock Chinese, abang Azman dan rakan-rakan bersama pasukannya dalam Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

“Terima kasih semua sahabat pasukan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia dan semua yang turut bersama dalam doa dan yang menyumbang bersama. Hanya Allah membalasnya semuanya. Kita semua sebuah keluarga. Orang-orang tua inilah asam garam dan kebaikan dalam dunia ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 8603546376 atas nama Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here