Hilang kerja, pemuda jalan kaki balik Kelantan

0
215

TANAH MERAH- “Duit hanya tinggal RM150, hilang pekerjaan dan tiada kenderaan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kelantan dengan ‘berjalan kaki’.”
Demikian kata Muhammad Noor Ramli, 29, yang tular sejak semalam berikutan tindakan nekadnya pulang berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan membabitkan perjalanan lebih 400 kilometer, kelmarin.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun bersyukur perjalanannya dipermudahkan apabila terdapat bas di Bandar Tasik Selatan (BTS) sehingga ke Gopeng, Perak.

“Saya mula keluar dari rumah di Shah Alam pukul 7 pagi kelmarin sebelum menaiki bas di BTS pukul 6 petang. Pada awalnya memang saya merancang untuk naik bas sehingga ke Gua Musang dan jika bas tiada, saya tetap nekad untuk pulang walaupun terpaksa berjalan kaki.

“Setibanya di Gopeng pukul 9.30 malam kelmarin, saya bermalam di stesen bas sebelum berjalan kaki selama enam jam mulai pukul 7 pagi sebelum tiba di Amanjaya, Ipoh, pukul 1 tengahari. Pada masa sama, saya meminta rakan-rakan Facebook supaya tularkan kisah saya dengan harapan ada pihak tampil membantu.

“Alhamdulillah sejak tular, ramai yang menghubungi untuk membantu selain melarang saya daripada meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Mereka meminta saya berhenti sehingga bantuan tiba,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Muhammad Noor berkata, berkat doa semua, anggota polis dari Balai Polis Gerik datang mengambilnya di Amanjaya untuk dihantar ke Gerik.

“Anggota polis berkenaan turut menahan sebuah lori yang membawa muatan tepung supaya menumpangkan saya sehingga ke rumah.

“Sebaik sahaja memasuki daerah Jeli, Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya yang akhirnya berjaya tiba di kampung pukul 11 malam tadi dengan duit hanya berbaki RM30.

“Apa yang saya lakukan ini memang luar biasa, namun disebabkan perasaan buntu hilang kerja, tidak dapat berjumpa isteri sejak Januari lalu dan saya pula tiada sebarang kenderaan menyebabkan tindakan ini terpaksa diambil,” katanya yang turut memaklumkan tidak mampu tidur sejak malam tadi kerana teruja dapat bertemu dengan keluarga.

Beliau turut berterima kasih kepada polis dan Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed iaitu Nazri Ramli yang banyak membantu dengan memaklumkan kepada polis untuk mengambilnya di Amanjaya serta orang ramai yang menularkan kisahnya.

“Saya bekerja di kafe Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak Januari lalu, namun hilang kerja mulai 17 Mac selepas syarikat saya bekerja tamat kontrak.

“Sebaik sahaja hilang kerja, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan saya tidak boleh pulang. Untuk masalah saya yang hilang kerja, polis membenarkan saya pulang namun disebabkan tiada pengangkutan awam yang beroperasi menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan luar biasa.

“Saya tahu ramai yang bimbangkan keadaan saya terutama isteri, Siti Noor Fateng Shafie, 29 dan keluarga memandangkan mereka tidak tahu saya pulang dan hanya mengetahui selepas saya memaklumkan di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Siti Noor Fateng turut meluahkan rasa syukur apabila melihat suaminya pulang dengan selamat.

“Sepanjang tempoh PKP, hampir setiap hari suami menghubungi memaklumkan masalah dihadapi termasuk duit semakin habis sehingga adik beradik suami terpaksa membantu. Walaupun terkejut dengan tindakannya, saya bersyukur suami sudah selamat pulang,” katanya.

i

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here