Ibu bapa jangan bimbang kebajikan anak di kolej IPT

0
68

PUTRAJAYA – Ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang dengan kebajikan penuntut yang masih menetap di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberikan jaminan itu berkata, kerajaan sebelum ini bersetuju menanggung semua kos hidup, termasuk makan dan minum penuntut di IPT.

Beliau berkata, keputusan berkenaan diambil bagi memastikan semua penuntut kekal berada di IPT masing-masing dan terhindar daripada risiko penularan Covid-19 selain mematuhi arahana pelaksanaan PKP.

“Saya tahu sudah lama dan lebih 14 hari mereka berada di sana (IPT masing-masing) dan ibu bapa pasti mula resah mengenai nasib anak masing-masing yang masih berada di kampus atau kolej.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kita akan pastikan kebajikan anak-anak mereka terjaga, justeru tiada isu besar berkaitan anak masing-masing kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan.

“Oleh itu, ibu bapa usah gundah gulana, sebaliknya serahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjaga anak mereka dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju melanjutkan tempoh tarikh tutup permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) dan beberapa IPT lain.

“Kementerian itu bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan kepada 17 April daripada 7 April sebelum ini. Kita memahami sepanjang PKP mungkin pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM) berdepan masalah tertentu.

“Lanjutan tarikh tutup permohonan itu turut membabitkan Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA),” katanya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here