Ibu bapa kongsi cadangan tambah baik siaran TV Pendidikan

0
365

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan Televisyen (TV) Pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19, mendapat reaksi positif kebanyakan warga maya.

Pendidikan menerusi saluran baharu Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Okey itu yang bermula semalam diterbitkan secara berjadual untuk semua murid terutama yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam Facebook rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan siaran televisyen pendidikan disiarkan menerusi TV Okey RTM bermula semalam selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh PKP.

“Info lanjut berkaitan jadual rancangan boleh didapati dalam laman sesawang www.moe.gov.my atau di semua platform media sosial Facebook, Twitter dan Instagram @KemPendidikan,” kongsinya.

Sementara itu, seorang warga maya, Hasnur Abdul Wahab berpendapat, TV pendidikan yang  disiarkan itu sangat baik memandangkan rakyat Malaysia berdepan satu tempoh cuti PKP yang agak lama.

“Saya ingin memberi cadangan dan memohon juga disiarkan atau program pendidikan ini tidak lupa akan pelajar yang berada di dalam kelas Dual Language Programme (DLP) yang mana pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam sukatan bahasa Inggeris.

“Apabila diperhatikan jadual pembelajarannya semua dalam bahasa Melayu. Harap golongan pelajar yang mengambil DLP tidak dilupakan,” tulisnya.

Bagi Khairul Sabri pula, dia mencadangkan supaya KPM mewujudkan saluran YouTube juga.

Katanya, saranan itu dibuat supaya pihak kementerian memuat naik  semua subjek di situ dan pelajar boleh memilih masa yang sesuai dengan mereka untuk belajar.

“Metode @ cara yang baik melalui media komunikasi…. hebat KPM,” kongsi Mohamad Khir juga.

Sementara itu, Rusli Umar memuji tindakan dan inisiatif pihak KPM.

Namun, jelasnya, untuk berlaku adil kepada semua dicadangkan untuk UPSR menggunakan sukatan hingga Tahun 5, PMR Tingkatan 2 dan SPM Tingkatan 4 ekoran kesuntukan masa  persekolahan.

“Ini  kerana cuti diberikan untuk pelaksanaan PKP bagi mengekang wabak Covid- 19. Masa cuti panjang nanti pelajar bolehlah menghabiskan masa untuk mengulangkaji  pelajaran,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, memaklumkan sesi pembelajaran melalui TV Pendidikan menawarkan siri latihan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan, khususnya yang tidak mempunyai akses internet.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here