ICU di parkir kereta

0
329
Petugas kesihatan membuat persiapan di ICU sementara.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

MANAMA- Bahrain mengubah sebuah kawasan tempat letak kenderaan di ibu negara kepada wad unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan pesakit Covid-19.

Memetik laporan Gulf News, wad ICU sementara di tingkat tiga tempat letak kereta hospital tentera itu mempunyai 130 katil.

Komander Perkhidmatan Perubatan Diraja Sheikh Khalid Ali Al-Khalifa berkata, ICU baharu yang dibangunkan di tempat letak kenderaan bertutup itu sebagai persediaan jika berlaku lonjakan kes.

“ICU baharu ini sebagai langkah pencegahan jika berlaku peningkatan kes.
“Kami membangunkan unit lengkap ini dalam masa tujuh hari selepas bekerja siang dan malam.

“Ini ICU pertama seumpamanya dibangunkan di negara teluk,” katanya.

Kemudahan itu dibangunkan kementerian pertahanan dengan kerjasama agensi kerajaan lain.
Pengarah Projek ICU itu, Nayef Lori berkata, 800 doktor dan jururawat dilatih menangani kes pesakit kritikal sejak negara itu merekodkan kes pertama wabak itu, Februari lalu.

Bahrain mengambil pendekatan tegas mengekang penyebaran wabak itu dengan melakukan sekatan pergerakan dan menggantung semua penerbangan.

Malah, jambatan yang menghubungkan negara itu dengan Arab Saudi juga ditutup beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa melonggarkan sekatan minggu lalu dengan membenarkan segelintir kedai runcit beroperasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here