Isteri kongsi detik cemas suami nyaris maut diserang seladang

0
5490

SITI AZIELAH WAHI

Noraslinda disamping suaminya Mohd Hakim Taufikul Rahman semasa dirawat di wad pemulihan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

CYBERJAYA – Berpantang maut sebelum ajal. Demikian pepatah sesuai diibaratkan keatas seorang pekerja zoo yang nyaris maut selepas diserang seekor seladang dalam satu kejadian awal bulan lepas.

Seorang pekerja Zoo Johor, Mohd. Hakim Taufikul Rahman, 34, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tidak sedarkan diri sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dalam kejadian yang berlaku pada 11 Mac lalu.

Menceritakan detik cemas yang menimpa suaminya, Noraslinda Amat, 36, berkata, dia berasa sungguh bimbang sebaik dihubungi pihak zoo, suaminya diserang seekor seladang India dari arah belakang selepas selesai memberi haiwan itu makan kira-kira pukul 4 petang.

“Perasaan cemas dan berdebar menyelubungi diri apabila mendapat tahu suami kemalangan dan tidak sedarkan diri.

“Saya segera ke hospital dan sebaik tiba pihak hospital memaklumkan suami saya berada di zon kritikal dan mengalami kecederaan parah di kepala, rusuk, leher dan belakang badan,” katanya.

Norhaslinda berkata, menurut rakan sekerja, ketika kejadian dia dan suami baru selesai memberi seladang itu makan sebelum suami berpaling untuk ke belakang kandang membersihkan najis haiwan itu yang tiba-tiba mengamuk lalu menyerangnya.

“Akibat kejadian itu, banyak pendarahan berlaku di kepala akibat hentakan kuat bertubi-tubi, mengalami patah pada bahagian leher, tulang rusuk, hidung dan rahang serta kecederaan lain di bahagian muka.

“Doktor telah melakukan pembedahan bagi menampal empat lubang pada badan bahagian kanan akibat ditanduk dan pada awalnya dikhuatiri terkena bahagian paru-paru.

“Tempurung kepalanya juga terpaksa dibuang untuk mengeluarkan darah beku, selain doktor memasang tiub di leher bagi membantu pernafasan suami,” katanya.

Menurut suri rumah itu, selepas 10 hari menerima rawatan di ICU suaminya kemudian dipindahkan ke wad pemulihan dan wad rawatan selama 10 hari sebelum dibenarkan pulang semalam.

“20 hari itu berlalu bagai mimpi negeri. Saya berharap suami segera sembuh seperti sedia kala walaupun doktor ada memaklumkan suami berdepan risiko lumpuh dan perlu mengambil ubat tertentu danmenjalani proses fisiotherapi untuk pulih,” katanya.

Difahamkan bapa dua anak itu juga masih belum boleh bertutur namun menunjukkan perkembangan yang baik setiap hari.

Mohd. Hakim bekerja di Zoo Johor sejak empat tahun lalu manakala Norhaslinda tidak bekerja dan merupakan pesakit kanser leukimia dalam proses pemulihan.

Pasangan ini mempunyai dua orang anak berusia empat dan tujuh tahun.

Selepas pulang dari hospital, Mohd. Hakim perlu melalui proses pemulihan dan fisiotherapi khas.

Sekiranya ingin menghulurkan bantuan boleh panjangkan sumbangan itu ke akaun Maybank Noraslinda Amat di nombor 101049163809. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here