Isu pembuangan hasil pertanian: ambil tindakan tegas – Cikgu Izzat

0
312
Tindakan tegas perlu diambil kepada petani yang membuang hasil pertanian mereka.

SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan- Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Johari memberi beberapa cadangan berkenaan isu lambakan dan pembuangan hasil pertanian di Cameron Highland dan Lojing, Gua Musang untuk diselesaikan.

Katanya, pihaknya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar tidak melayan atau mengambil endah tentang kerugian dan tuntutan daripada pengusaha pertanian di dua lokasi tersebut kerana kerugian yang dialami oleh petani adalah sikap mereka sendiri.

Beliau mencadangkan Kerajaan Malaysia boleh memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada pengusaha petanian Muslim yang sedang giat mengusahakan pertanian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada membayar tuntutan kerugian yang dialami oleh sebahagian petani.

“Selain itu, saya memohon pihak kerajaan Malaysia agar mengarahkan pengusaha pertanian di Cameron Highlands dan Lojing supaya meletakkan semua hasil tanaman yang mereka ingin buang ke satu lokasi khas untuk pihak Jawatankuasa Kempen BMF Malaysia mengutip dan mengagihkan ke 34 buah zoo dalam Malaysia, termasuk Zoo Negara yang semakin kekurangan makanan.

“Kami juga mencadangkan bahawa sayur-sayuran yang hendak dibuang ini diagihkan kepada 97 Pasar Basah terkawal di bawah seliaan FAMA di seluruh Malaysia untuk diagihkan secara RM1/plastik bagi menampung kos pergerakan lori dan pemandu yang akan bekerja secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan di dalam laman media sosial, Facebooknya, pagi tadi.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat, turut menuntut kepada kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan tegas kepada pengusaha pertanian di Cameron Highlands dan Lojing untuk didenda kerana membuang sampah dengan sengaja, yang akan merosakkan pemandangan dan membusukkan kawasan.

Beliau turut menuntut agar pihak Kerajaan Malaysia menarik semula kebenaran dan lesen kesemua pengusaha pertanian di Cameron Highlands dan Lojing yang terlibat dalam aktiviti membuang hasil tani.

Katanya, penarikan kebenaran atau lesen itu disebabkan dua faktor iaitu, tidak menghargai hasil bumi kawasan dan cuba bertindak menipu untuk menuntut pampasan kepada kerajaan Malaysia dengan cara membuang hasil tani.

“Akhir sekali, saya merayu kepada kerajaan Malaysia, kita sudah di penghujung zaman. Utamakanlah pengusaha pertanian Muslim. Mulai saat ini, sebagai langkah pertama, utamakan industri pertanian untuk kembalikan ekonomi negara selepas PKP ini.

“Kita cakap, kita buat. Kita jaga kita, kita bantu kerajaan Malaysia,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here