Isu PKP: Timbalan Menteri Kesihatan mohon maaf

0
160
Gambar Dr. Noor Azmi bersam Razman yang mencetuskan kemarahan banyak pihak kerana tidak mematuhi PKP.

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali tampil memohon maaf berkaitan isu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika hadir ke Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong, Perak minggu lalu.

Beliau berkata, kehadirannya di pusat tahfiz itu pada Jumaat lalu dibuat selepas beliau mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Lenggong.

“Saya amat menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam usaha menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu, jawatan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak minggu lalu, gambar Dr. Noor Azmi sedang menikmati hidangan makanan tengah hari bersama Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria dan beberapa orang lagi telah menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana tidak mematuhi PKP.

Berikutan itu, katanya, beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Putrajaya hari ini untuk memberikan kenyataan dan bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Sementara itu, Dr. Noor Azmi turut menzahirkan penghargaan ke atas pengorbanan yang dibuat oleh semua petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

“Saya juga amat menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), warga petugas Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lain yang terlibat dalam usaha memerangi Covid-19 ini.

“Terima kasih atas jasa dan pengorbanan anda semua,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here