Isu Rohingya: Serahkan pada polis untuk siasat

0
123

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai berhenti daripada terus memainkan isu berkaitan warga Rohingya yang berada di negara ini.

Ismail Sabri berkata, isu itu mula ditimbulkan dan dihangatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas banyak video, audio dan berita berkaitan warga asing itu dibangkitkan dalam media sosial.

“Saya berasa hairan kerana kedatangan warga Rohingya ke negara kita bukan baharu tetapi sudah bertahun-tahun, sedangkan sebelum ini tidak ada isu dibangkitkan,” katanya.

Menurutnya, kedatangan mereka ketika itu kerana mendapat simpati daripada Malaysia apabila dibunuh dengan kejam, dibakar dan diseksa di negara asal.

“Kita menerima mereka waktu itu kerana simpati dan tiada isu yang timbul. Kemunculan isu ini adalah menghairankan kerana begitu banyak berita, video dan audio yang dikeluarkan, menimbulkan kemarahan.

“Jadi pihak polis sekarang sedang menyiasat perkara ini kerana ada sesetengah yang menganggap audio dan video itu palsu.

“Tiada siapa yang boleh menentukan sama ada ia palsu atau sahih kecuali selepas siasatan polis, ” katanya.

Pada masa sama beliau berharap rakyat diminta bertenang dan berhenti menimbulkan isu yang boleh membangkitkan kemarahan dan akhirnya menjadi sesuatu tidak diingini.

“Malaysia sebuah negara aman dan terkenal sebagai sebuah negara yang sangat bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja yang ada di bumi ini.

“Polis akan siasat semua isu yang ditimbulkan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here