Jakim utamakan khidmat penghantaran makanan halal

0
617

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Pengurusan Halal (BPH) menitikberatkan pemilihan khidmat penghantaran makanan yang mengutamakan konsep dan prinsip halalan toyyiban melalui pengenalan skim logistik halal untuk kategori pengangkutan atau penghantaran makanan.

Dalam satu kenyataan dalam akaun rasmi Facebook agensi itu, Jakim mengalu-alukan usaha syarikat khidmat penghantaran makanan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Menurutnya, pengguna digalakkan memilih servis penghantaran makanan yang telah dipersijilkan halal kerana ia menepati piawaian dan pemeriksaan serta standard rapi oleh Jakim.

“BPH Jakim ingin memaklumkan keseluruhan kawalan rantaian halal akan lebih terjamin apabila sesuatu khidmat penghantaran makanan halal telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Antaranya ialah apabila produk makanan yang diambil hanya dari premis makanan yang telah dipersijilkan halal sahaja dan tiada percampuran makanan halal dan tidak halal dalam satu muatan,” katanya.

BPH Jakim berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakannya pasti akan membuat pembelian makanan menggunakan perkhidmatan penghantaran.

Jelasnya, pihaknya terus beroperasi dalam menyediakan perkhidmatan nasihat halal kepada pihak industri dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa patuh dengan peraturan pensijilan semasa PKP ini.

“Sebagai menyokong usaha itu Faszz Technology (M) Sdn. Bhd., pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi skim logistik (pengangkutan) telah bekerjasama dengan Syed Food Industry Sdn. Bhd., untuk khidmat penghantaran produk makanan berjenama Syed ke seluruh Lembah Klang.

“Pengasas Faszz Technology (M) Sdn.Bhd., Datuk Ishak Mohd. Ishtiaq menyatakan perkhidmatan penghantaran syarikat itu merupakan satu-satunya penyedia makanan yang disahkan Jakim-Halal,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, perkhidmatan yang diberikan itu menepati syarat-syarat pensijilan yang ditetapkan oleh Jakim sekali gus sebagai satu jaminan bahawa aspek halalan dan toyyiban disatukan ke dalam penawaran perkhidmatan yang memenuhi syarat, situasi dan sewaktu penyerahan dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here