Jangan berhenti promosi produk

0
155

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Jurulatih Perniagaan, Coach Mohd Fadzil Hashim mengajak para peniaga supaya terus mempromosi dan menjual produk dan barangan masing-masing untuk menjana pendapatan walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Fadzil berkata, kebanyakan usahawan konvensional mengadu susah, berasa malang dan dilanda tsunami kerana tidak dapat meneruskan perniagaan masing-masing dalam tempoh PKP.

“Kita tidak boleh berfikir begitu. Kita fikir orang dah tak membeli belah sekarang kerana mereka simpan duit.

Tetapi kita lupa kerajaan memberi moratarium selama enam bulan. Malah orang punyai lebih duit sekarang berbanding dengan masa sebelum ini.

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, mereka masih mendapat gaji, tidak perlu membayar pinjaman bank, dan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan,”katanya dalam sesi FB Live bertajuk Spiritual Kunci Bangkit Diri bersama Pengarah ESQ 165 Malaysia, Razib Abu Bakar minggu lepas.

Beliau ditanya bagaimana para peniaga pakaian raya mahu meneruskan perniagaan untuk meneruskan perniagaan sepanjang PKP.

Beliau yang juga Pengasas Raudhah Grocer dan Malakat Mall berkata, kebanyakan mereka bagaimanapun hanya membeli makanan sahaja kerana peniaga-peniaga lain sudah memberhentikan pengiklanan.

” Sepatutnya kita kena tonjolkan aspek-aspek positif. Walaupun kita akan beraya dalam tempoh PKP, kita masih boleh beraya dengan sedikit perbezaan.

Walaupun tiada yang berkunjung, pakaian tetap kena yang baharu kerana berpakaian baharu adalah sunnah,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, dalam situasi ekonomi hari ini masyarakat perlu berbelanja dalam ekonomi kerana ia memberikan kesan rantaian.

“Dalam setiap ringgit yang dibelanjakan, kesan bergandanya melebih tiga hingga empat kali ganda. Pemilik-pemilik produk hanya perlu ubah pendekatan,” katanya.

Beliau mencadangkan semua menonton kisah berkaitan masyarakat Turki berjudul Ertugrul yang sangat-sangat menjaga adat budaya mereka.

” Kita juga sepatutnya mengembalikan semula budaya kita yang tidak melanggar syarak. Walaupun tidak boleh beraya, kita boleh buat rumah terbuka menerusi aplikasi Zoom, macam-macam lagi kita boleh buat,”katanya.

Beliau meminta peniaga dan usahawan tidak berfikiran negatif dan sentiasa ingat Allah dekat dengan kita.

” Kita kena ingat hadis Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa ALLAH SWT menurut sangkaan hamba-Nya. Kita kena fikir bahawa ALLAH dekat dan sayangkan kita. Kalau kita yakin dengan ALLAH, Dia akan makbulkan apa yang kita pinta,” katanya.

Tambahnya, jika terus berfikiran negatif, kita akan keluar dari tempoh PKP ini dalam keadaan yang lebih hina daripada sebelumnya.

Sehubungan itu, katanya sebagai seorang Islam semua harus punyai pegangan bahawa hari ini lebih baik dari semalam serta berjuang dalam angkatan membangunkan ekonomi Islam dengan sekurang-kurangnya menjadi ahli koperasi yang seperti KoPPIM.

Pada masa sama beliau mempelawa usahawan dan pembekal barangan makanan untuk meletakkan barangan dan produk mereka di Raudhah Grocer.

“Jika hendak membekalkan makanan itu kepada kami, maka pihak kami boleh membantu. Pihak kami boleh mengeluarkan sepucuk surat supaya tuan puan boleh datang ke Malakat Mall dalam tempoh PKP ini.

Kami akan memberi sedikit taklimat, bawa produk contoh, datang untuk mendaftar dan insya-ALLAH barangan tuan puan akan diterima,”tambahnya.

Katanya Raudhah Grocer tidak mengenakan apa-apa kos seperti Stock Keeping Unit (SKU) atau caj rak sebaliknya hanya perlu membawa barang untuk dijual sahaja.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here