Jangan jadikan GLC habuan kepada pemimpin politik

0
286

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Enam pertubuhan bukan kerajaan (NG0) membantah cadangan kerajaan untuk meletakkan pemimpin politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) yang dilihat tidak mempunyai keupayaan dalam memimpin syarikat terbabit.

Enam NGO itu mengeluarkan kenyataan bersama berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN)
bercadang untuk melantik ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri menjadi Pengerusi GLC serta agensi kerajaan.

Mereka ialah Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Berikut kenyataan penuh NGO tersebut.

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan pernyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk melantik ahli-ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri menjadi Pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) serta agensi-agensi kerajaan.

Apatah lagi sekiranya yang dilantik ialah mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan. Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, pemimpin Jawatankuasa Pas Pusat pula menegaskan bahawa adalah munasabah untuk meletakkan ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui GLC kerana mereka boleh memantau GLC tersebut bagi pihak rakyat.

Kedua-dua pernyataan ini jauh tersasar. Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik! Dan kerja Pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut.

Untuk menjadi pemangkin positif, orang yang dipilih perlu mempunyai kredibiliti, pengalaman, kelayakan, sifat amanah dan rekod cemerlang dalam bidang berkaitan.

Menjadi seorang ahli Parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan professional untuk menjadi teraju sebuah GLC atau agensi kerajaan.

Kami menegaskan bahawa pemimpin politik tidak wajar dilantik mempengerusikan entiti perniagaan seperti GLC.

Ahli politik lebih baik memegang jawatan politik dan tinggalkan jawatan korporat kepada golongan profesional dan teknokrat. Prinsip utama politics and business do not mix diketahui umum dan menjadi SOP dalam mana-mana negara demokrasi yang matang.

Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan meluru ke arah kehancuran.

Sejarah pengurusan GLC dan badan berkanun di Malaysia kini adalah baik. Para teknokrat dan profesional yang berkaliber dijemput menerajui syarikat-syarikat tersebut.

Kita masih ingat rekod cemerlang Tan Sri Abdul Aziz Rahman menerajui MAS menjadi satu syarikat penerbangan yang terulung di rantau ini.

Begitu juga kisah Petronas yang diterajui oleh Tan Sri Azizan dan Tan Sri Hasan Merican dipacu menjadi syarikat Fortune 500. Contoh contoh lain adalah seperti Felda, Sime Darby, CIMB, Maybank dan IHH.

Tujuan GLC dan badan berkanun ditubuhkan adalah untuk:

  1. Memfokuskan skop perniagaan syarikat bawah pimpinan pengurusan profesional dan berwibawa secara bebas.
  2. Membawa syarikat tersebut menjadi bukan sahaja juara dalam negara tetapi serantau bahkan dunia.
  3. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
  4. Memberikan servis berkualiti dunia dalam bidang masing-masing.
  5. Menjadi pemangkin positif penyertaan bumiputra dalam perniagaan dan industri.

Semasa pemerintahan terdahulu, banyak ahli Parlimen dilantik menjadi Pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, Felcra, Mara dan lain-lain.

Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan.

Lebih parah, beberapa pengerusi lantikan dalam kalangan ahli politik ini sedang menghadapi tuduhan pecah amanah dan penyelewengan di mahkamah.
Kerajaan perlu belajar daripada pengalaman lalu apabila pemimpin gagal memegang amanah: rakyat hilang keyakinan dan beralih arah.
Oleh itu GLC perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia. GLC perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan!
Kita perlu sedar bahawa banyak ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan asas; dan tidak mengikuti peraturan urus-tadbir dan ketelusan syarikat.
Mereka bahkan tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif! Siasatan telah membongkar penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega yang hampir melumpuhkan syarikat-syarikat tersebut.

Analisis di atas adalah ringkas tetapi memadai untuk memberikan gambaran menyeluruh kesan jika kita tersilap langkah.

Oleh itu ACCIN, Pembela, Mapim, MTEM, DPMM dan MBM menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak mempertaruhkan masa depan GLC dan badan berkanun yang menjadi tunggak ekonomi dan pentadbiran negara dengan meletakkan syarikat-syarikat ini bawah pimpinan mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan keupayaan memimpin syarikat-syarikat korporat gergasi ini.
Pada masa sama kami menegaskan bahawa para profesional dan teknokrat yang dilantik mesti menunjukkan integriti yang tinggi; dan memahami bahawa fungsi agensi adalah untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat, bukannya kepada pengurusan semata-mata.
Pemimpin dan Pengerusi GLC yang dilantik bukan hanya perlu kompeten namun harus mampu memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dlm sektor strategik dan masa hadapan. Mereka bukan hanya memastikan keuntungan pada ‘balance sheet’ yang cantik namun mampu membangunkan industri dan rantaian bekalan tempatan terutamanya penyertaan SME Bumiputera. Pendek kata; mereka harus kompeten dan berjiwa bangsa.

Ketua Pegawai Eksekuitif, Ir. Mohd. Jamaludin Shamsudin
Pengerusi Pembela,Aminuddin Yahaya
Pengerusi Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman
Presiden DPMM, Abdul Halim Hussin
Presiden MBM, Jufitri Joha

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here