Jangan manja sangat! henti salahkan polis- KPN

0
425

KUALA LUMPUR- Orang awam diminta supaya berhenti menyalahkan anggota polis ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata, sekatan jalan raya dilaksanakan kerana tugas pasukan keselamatan itu adalah bagi memastikan setiap individu tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh PKP.

Abdul Hamid berkata, orang ramai seharusnya mematuhi segala arahan dalam PKP yang dikuatkuasakan bagi membataskan pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.

“Kami terpaksa membuat sekatan jalan raya di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19, selain menghadkan pergerakan keluar rumah orang ramai.

“Saya menasihatkan orang ramai yang tidak tersenarai dalam sektor perkhidmatan perlu untuk memahami arahan PKP, dan perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata, sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas semasa sekatan jalan raya, orang awam diminta bersabar kerana pihaknya tidak mahu terlepas pandang jika ada individu tidak berkenaan keluar dari rumah.

“Orang ramai jangan merungut dengan isu remeh seperti berlaku kesesakan lalu lintas sekitar 10 hingga 15 minit di lebuh raya mahupun di pusat bandar.

“Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanakan jangan begitu manja dengan menyalahkan sekatan jalan raya,” katanya yang kesal kerana anggotanya turut menerima cacian kerana melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau sendiri turun ke lapangan untuk melihat anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya dan menasihatkan mereka supaya bersabar dan bekerja dengan profesional.

“Alhamdulillah mereka menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam menangani isu ini (menerima cacian). Orang ramai kena ingat bahawa anak buah saya, pihak tentera dan lain-lain pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seluruh negara juga mudah terdedah dengan risiko Covid-19,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kesemua mereka ini sedang berjuang untuk orang ramai dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada petugas media boleh melalui laluan khas seperti petugas barisan hadapan lain, Abdul Hamid berkata petugas media dibenarkan melalui laluan berkenaan kerana mereka juga tersenarai dalam perkhidmatan perlu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here