Janganlah semuanya tentang kita…

0
139

PERKARA remeh dan tidak masuk akal sudah seperti ruji dalam laporan media hari ini. Lebih mengarut lagi apabila sesuatu yang pelik tetapi tidak mempunyai nilai berita dijulang setinggi-tingginya oleh media.

Penulis tidak berniat menuding jari kepada mana-mana media tetapi ada isu-isu yang cukup mengarut dan nampak belum pun reda sejak seminggu lalu. Ya, ia sensasi tapi benar-benar mengganggu.

Pertama adalah isu golongan artis mempertahankan tuntutan bantuan khas daripada kerajaan berikutan wabak Covid-19. Ini tidak lain tidak bukan adalah mentaliti ‘personal’ yang membuktikan golongan itu masih tidak mampu berdikari dan hanya memikirkan isi perut sendiri.

Bukan itu sahaja, sifat tersebut jelas menunjukkan mereka tidak pernah matang sehingga ‘gagal’ memproses maklumat yang disampaikan kerajaan. Itulah tanggapan mudah nitizen selepas isu tersebut viral.

Lebih menyedihkan apabila ia masih mendapat pembelaan segelintir artis. Masih diperdebat sehingga ada ugutan saman-menyaman. Adoi.

Susah sangat ke nak faham bahawa bantuan yang diisytiharkan kerajaan itu merujuk dan terpakai kepada semua. Jika ada artis yang ‘jatuh’ dalam golongan yang layak menerima, pergi sahajalah memohon seperti orang lain.

Perlu ke nak ada laluan istimewa? Antara kita rakyat Malaysia tidak perlu wujud pengkelasan yang membeza-bezakan kelompok. Ini termasuklah artis yang kais pagi makan pagi, kerana rakyat Malaysia yang lain pun ramai yang macam itu.

Apa-pun syukur jugalah penulis rasa, kesan daripada perbincangan topik tular itu, golongan artis yang masih tidak sedar diri sudah ‘dilanyak’ secukup-cukup warga maya. Seperti perang besar di alam maya.

Itulah kesan dan pengajarannya apabila kita hanya tahu bercakap tentang diri kita sahaja, tidak pernah mengambil kira perasaan orang lain seolah-olah semuanya adalah tentang kita.

Pada pengakhirannya, orang sekeliling sudah muak dan menyampah. Bahkan pada zaman internet sekarang, orang bukan tidak mengenang artis, tetapi tidak ramai yang boleh disanjung. Apatah lagi jika dalam kelompok artis kita, tiada yang tampil prihatin dalam meringankan krisis dihadapi negara ketika ini.

Apa pun, penulis memang salut pada artis yang dalam diam bergadai harta benda membantu golongan memerlukan sepanjang krisis Covid-19 ini, termasuk sesama artis sendiri. Ada bukan tidak ada ya.

Bakul sampahkan sahaja kisah artis itu kerana kita ada satu lagi isu yang masih belum selesai diperdebatkan iaitu keperluan menganjurkan bazar Ramadan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PK) yang dikhuatiri belum berakhir bulan puasa ini.

Ini satu lagi ‘masalah dunia’ yang sebenarnya tidak memerlukan pengetahuan sains roket untuk diputuskan tetapi kecoh diperkatakan seolah-olah penganjuran bazar itulah yang wajib, bukannya puasa.

Jika solat Jumaat pun perlu ditangguh, apa lagi mahu difikir pasal pasar puasa yang penuh sesak dengan manusia. Jika diteruskan juga, lupakan sahaja hasrat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pada penulis isu ini juga remeh tapi nampak seolah-olah sudah mahu kiamat jika tiada bazar Ramadan. Itu belum lagi mengambil kira jika kita tidak dibenar pulang untuk berhari raya.

Meskipun kerajaan di beberapa buah negeri sudah memutuskan tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan, perkara itu seperti masih tidak difahami golongan peniaga dengan alasan tiada pendapatan sepanjang tempoh itu.

Sebenarnya bukan golongan peniaga bazar sahaja yang terkesan tetapi semua rakyat terpaksa melalui kesukaran sepanjang tempoh PKP ini. Seperti juga kisah artis, sekali lagi penulis ingatkan jangan terlalu bersifat personal tapi biarlah rasional dalam hal ini.

Semua orang ada tanggungan sendiri dan terpaksa melalui PKP dengan penuh tanggungjawab. Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, kita perlu patuh kepada ketetapan yang diputuskan kerajaan kerana itu juga sebahagian daripada tuntutan agama.

Jangan disebabkan ‘kisah’ dan keperluan personal kita, orang lain terpaksa menderita menempuh tempoh berkurung dalam rumah yang panjang. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here