Jangkitan di pasar borong dikawal mengikut pengesanan kes aktif

0
96

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kaedah pengesanan kes aktif bagi mengawal penularan Covid-19 membabitkan jangkitan pekerja di pasar borong.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pelaksanaan kaedah itu adalah sama seperti dilaksanakan KKM semasa gelombang penularan Covid-19 yang pertama membabitkan warga China.

“KKM akan mendapatkan kenalan pesakit yang positif dan juga rakan-rakan mereka. Begitu juga dengan ahli keluarga mereka yang akan disaring.

“Jika kita syaki berlaku jangkitan melibatkan lebih ramai orang dan bukan hanya seorang kita akan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan tersebut diikuti dengan saringan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu, setakat ini KKM telah melakukan 15,000 saringan di pasar borong dan mengesan 74 kes positif.

“Jika kita lihat kadarnya, ia masih tidak setinggi kes saringan yang kita lakukan pada kes-kes kontak rapat yang positif,” katanya.

Mengulas 13 kes jangkitan pekerja yang bukan dalam kalangan pekerja pasar borong, beliau percaya jangkitan mungkin berlaku ketika mereka datang mengambil barang perniagaan dari pasar borong dan pulang ke pasar-pasar lain.

“Kita percaya ada antara pekerja di pasar borong yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan sekarang sudah menjangkiti orang lain di kawasan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi langkah yang sama akan diambil oleh KKM melalui pengesanan kes aktif seperti dilakukan di Pasar Taman Megah, Pasar Jalan Othman dan Pasar Chow Kit.

“Seperti juga di Bahau, kita tutup pasar tersebut dan buat nyahkuman dan ambil tindakan saringan kontak rapat dan lakukan pengesanan kes aktif di kawasan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here