Jawi laksana akad nikah dalam talian pertama di Malaysia

0
238

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan majlis akad nikah pasangan pengantin secara dalam talian yang pertama di Malaysia, ekoran kekangan pergerakan akibat wabak COVID-19.

Majlis pernikahan pertama secara dalam talian melalui sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd. Sharif, 29, disempurnakan dalam sekali lafaz.

Memetik portal Alhijrahnews, majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju Setapak, Kuala Lumpur manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada pukul 10.10 pagi tadi.

Bapa pengantin perempuan, Mohd. Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.

Majlis bersejarah yang turut disiarkan secara langsung menerusi akaun rasmi Facebook Berita AlHijrah itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail.

Majlis nikah dalam talian itu selaras dengan ketetapan terbaru Jawi pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperoleh Kebenaran Berkahwin daripada Jawi untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Antara negara melaksanakan nikah dalam talian ekoran penularan wabak Covid-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here