Johor beri insentif khas kepada anggota barisan hadapan PBT

0
84

Ayub Jamil

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan memberikan insentif khas RM300 sebulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kepada anggota barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat secara langsung dengan usaha pemutusan rantaian penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ayub Jamil berkata, pembayaran insentif dengan peruntukan perbelanjaan berjumlah RM1.512 juta bagi tempoh pelaksanaan PKP selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei itu akan memberi manfaat kepada 1,681 petugas daripada 16 PBT merangkumi dua Majlis Bandaraya, tujuh Majlis Perbandaran serta tujuh Majlis Daerah di negeri ini.

“Pembayaran insentif ini akan diteruskan sekiranya PKP dilanjutkan. Untuk kriteria penerimanya, insentif ini akan diberi kepada semua gred jawatan di bawah Skim Inspektor Kesihatan/Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penguatkuasa (Pegawai Penguatkuasa dan Pembantu Penguatkuasa).

“Insentif khas ini juga boleh diberikan kepada mana-mana pegawai atau kakitangan Majlis yang diberi kuasa atau diperakukan oleh Datuk Bandar/Yang Dipertua secara bertulis untuk melakukan tugas sepanjang tempoh PKP,” katanya menerusi kenyataan dipetik Bernama hari ini.

Ayub berkata kerajaan negeri Johor mengambil berat kebajikan dan jasa petugas barisan hadapan PBT yang telah bertungkus lumus memantau serta menguatkuasakan ketetapan badan kerajaan berkenaan sepanjang PKP berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas.

Menurutnya, pendekatan pemberian insentif khas itu juga seiring dengan inspirasi kerajaan Persekutuan yang memberikan insentif tambahan kepada petugas kerajaan lain sebanyak RM600 bagi petugas kesihatan dan RM200 bagi anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam konteks ini, kerajaan negeri Johor merasakan petugas barisan hadapan PBT juga memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan PKP yang turut merisikokan keselamatan diri hanya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di Johor, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here