Johor tangguhkan solat sunat Aidilfitri, aktiviti masakan bubur lambuk di masjid

0
209

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Alhmarhum Sultan Iskandar bertitah melanjutkan tarikh penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu, solat tarawih dan apa jua aktiviti di semua masjid serta surau di negeri itu.

Baginda bertitah, ia seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

“Penangguhan itu termasuk solat sunat Aidilfitri dan aktiviti masakan bubur lambuk di masjid pada bulan puasa ini,” titah Sultan Ibrahim dalam akaun rasmi Facebook baginda hari ini.

Terdahulu menerusi hantaran akaun laman sosial itu, baginda berkenan menerima mengadap Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, hanya tiga orang pegawai masjid iaitu imam, bilal dan noja dibenarkan melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat tarawih di masjid.

“Bagi menghidupkan syiar bulan Ramadhan al Mubarak, masjid dan surau dibenarkan untuk mengguna pembesar suara mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran selama 10 minit sebelum azan waktu maghrib dan bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum subuh,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan pasangan pengantin supaya bersabar dan menangguhkan dahulu majlis nikah, serta mengingatkan supaya tidak berkumpul beramai-ramai di rumah. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here