Jom cuba resipi Ayam Vanggey

0
606

– Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ini, pelbagai ragam boleh dilihat dalam media sosial tentang kreativiti orang ramai mengisi masa lapang ketika berada di rumah.

Ada yang menyanyi, menggunting rambut dan lebih menarik mencuba pelbagai resipi baharu dan dikongsi bersama warga maya lain.

Seorang pemilik akaun Facebook dikenali Azizi Safar berkongsi resipi masakan Ayam Vanggey kepada pengikutnya dalam laman sosial itu.

Resipi yang dikongsi bersama rakan warga maya lain membuatkan pengikutnya terliur melihat gambar yang dimuat naik olehnya.

Kepada kaum lelaki, boleh mencuba resipi ini mana tahu air tangan suami pula memikat hati isteri.

Jom mari kita cuba resipi ini mana tahu menjadi kegemaran ahli keluarga atau rakan-rakan lain.

Resipi Ayam Vanggey

Bahan
1 ekor ayam dipotong 12, dibersihkan, kemudian digaram kunyit sedikit saja dan digoreng hingga masak. Kegaringan ikut selera

Bahan kisar:
-2 biji bawang besar
-10 ulas bawang kecil
-6 ulas bawang putih
-2 batang serai
-4 inci halia
-20 biji cili kering direbus dulu

Bahan tumis:
-3 bunga lawang
-2 kulit kayu manis
-3 pelaga
-4 bunga cengkih
-3 pelepah daun kari.

Bahan rempah
-6 sudu besar serbuk kari daging
-10 sudu besar serbuk cili

Bahan lain
-1 cawan gula merah

Cara-cara Memasak:

Masukkan 2 senduk minyak masak, masukkan 4 sekawan, kemudian diikuti daun kari, biar wangi, kemudian masukkan cili kisar, masak 20 hingga 30 minit sehingga cili betul-betul masak.

Kemudian masukkan bahan kisar, masak lagi 10 hingga 15 minit. Kemudian masukkan rempah kari dan serbuk cili, masak lagi 15 minit, Masak dengan api perlahan biar sehingga minyak bertakung. Masak lama tak apa lagi sedap sebab semua bahan dah masak elok.

Masuk gula merah, garam secukup rasa, kacau bagi sebati baru masukkan ayam. Masa ini kuatkan api. Gaul kuah ke atas sehingga kuah dan ayam berpalut. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here