
CYBERJAYA- Sebanyak 30 jenis roti segar menjadi pilihan penduduk di Balakong dan kawasan sekitar yang dijual pasangan suami isteri, Noor Azlina Jaafar dan Mohd. Basir Abu Bakar.
Menurut Noor Azlina, roti yang dijual pada harga RM4.50 untuk semua jenis itu mendapat permintaan tinggi dan kira-kira 100 jenis roti dijual setiap hari kepada pelanggan.

Beliau berkata, roti dihantar secara percuma untuk pelanggan di sekitar taman di Balakong dan cas penghantaran dikenakan untuk luar kawasan seperti Serdang dan Cheras jaya.
“Kami mula berniaga roti pada 5 April lalu selepas menerima tawaran dari pemilik kilang roti di Sungai Jelok, Kajang. Sebenarnya pemilik kilang juga terjejas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Beliau (pemilik kilang) pun cuba untuk tawarkan pada kenalan-kenalan yang mahu cuba berniaga. Memandangkan beliau tahu saya kehilangan kerja dan berniaga secara kecil-kecilan.
“Bagaimanapun, perniagaan saya pun kurang mendapat sambutan kerana semenjak PKP orang ramai lebih pentingkan makanan dari barangan-barangan lain.
“Pada mulanya saya ingin cuba-cuba sahaja berniaga roti…Ambil pesanan dari jiran-jiran terdekat dan tidak sangka lama-kelamaan semakin mendapat sambutan,” katanya.
Menurut Noor Azlina, ketika musim PKP ini, beliau dan suami hanya membuat penghantaran dalam jarak 10 kilometer (km) sahaja dan pelanggan juga boleh datang ke rumahnya di Balakong.

“Roti ini segar kerana dibuat dua kali sehari mengikut pesanan pelanggan. Maksudnya bila ada pesanan baru kilang buatkan. Dari awal berniaga 30-100 paket roti dijual sehari.
“Namun, ketika Ramadan nanti kemungkinan kilang akan hentikan proses membuat roti,” katanya yang turut menjual telur sotong dan pewangi kenderaan dan rumah jenama Bliese.
Mengulas lanjut, Noor Azlina berkata, antara roti yang mendapat permintaan tinggi ialah Chicken Floss 6×1, HotDog Cheese; Giant HotDog Cheese; Giant HotDog Sos; Cheese Stick; Kacang Roll Pandan dan Kacang Merah Cheese.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan roti segar boleh menghubungi Noor Azlina di talian 019-2692505 atau suaminya Mohd. Basir di talian 019-2302505.-MT