Jumlah tangkapan PKP menurun 3.6 peratus

0
69

CYBEJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua yang dilaksanakan semalam menyaksikan jumlah tangkapan menurun iaitu 562 individu semalam berbanding 583 individu yang ditahan pada 31 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia menunjukkan penurunan sebanyak 3.6 peratus jumlah tangkapan sekali gus menunjukkan semakin ramai rakyat mematuhi PKP.

Menurut beliau, penahanan itu dibuat berdasarkan sekatan jalan raya dan rondaan oleh anggota Polis Diraja Malaysia dalam memastikan rakyat mematuhi arahan PKP.

“Ia satu perkara yang baik dan ditunggu-tunggu pihak kerajaan kerana rakyat telah mulai sedar tentang tanggungjawab mereka mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan.

“Walau bagaimanapun pihak polis masih meneruskan tanggungjawab mereka untuk memastikan keseluruhan rakyat patuh pada setiap arahan dikeluarkan

“Selain daripada tangkapan, pemeriksaan kenderaan diteruskan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya dekat sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, sepanjang tempoh PKP ini, seramai 4,189 individu telah ditahan iaitu 1,449 telah dituduh di mahkamah dengan ada antara mereka dijatuhkan hukuman bukan berupa denda tetapi juga penjara.

“Ada kes yang mana penjara dikenakan kepada mereka selama lapan bulan kerana bukan kesalahan ingkar semata-mata tetapi dituruti kesalahan-kesalahan lain.

“Mereka didakwa kerana melawan anggota polis yang dianggap mengganggu ketika menjalankan tugas mereka,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here