Kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan ditetapkan lebih rendah tahun ini

0
111

CYBERJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, penetapan kadar yang rendah itu bertujuan meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan menunaikan kewajipan tersebut.

“Melihat kepada situasi semasa ekoran penularan Covid-19, MAIWP dengan persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara Wilayah Persekutuan telah menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5 dan RM7.

“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras super tempatan gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, umat Islam boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing.

Sementara itu, katanya, keputusan yang dibuat itu juga selari dengan Resolusi Muzakarah Khas kali kedua Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April lalu.

Katanya, resolusi itu menetapkan kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here