Kajian buktikan ‘lockdown’ berjaya bendung kes Covid-19 di Wuhan

0
95
Jalan raya di sekitar bandar Wuhan lengang susulan ancaman Covid-19 ketika arahan ‘lockdown’ dilaksanakan. – Foto AFP

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

HONG KONG – ‘Lockdown’ di Wuhan, China, berkesan membendung Covid-19 pada awal wabak berkenaan menular dan banyak membantu mengurangkan kadar jangkitan di tempat lain, menurut laporan dikeluarkan sebuah universiti di Hong Kong.

Memetik laporan agensi Bernama, menurut kajian Universiti China Hong Kong (CUHK), andai kerajaan tidak menutup sepenuhnya bandar raya berkenaan, kadar jangkitan mungkin sehingga 64.8 peratus lebih tinggi di bandar di luar Hubei dan 52.6 peratus lebih tinggi di bandar selain Wuhan di wilayah itu.

“Kami mendapati ‘lockdown’ di Wuhan memberi sumbangan ketara terhadap usaha mengurangkan kadar jangkitan di luar Wuhan, meskipun penjarakkan sosial dikuatkuasakan di bandar raya lain selepas itu,” kata Profesor Madya Sekolah Perniagaan CUHK, Yang Yang.

Menurut laporan Xinhua, penyelidikan membuktikan ‘lockdown’ menyekat aliran orang ramai dari bandar raya itu sehingga 56.4 peratus berbanding jika kuarantin tidak dikuatkuasakan.

Selain itu, ia mengurangkan kemasukan ke bandar berkenaan sehingga 76.6 peratus dan pergerakan di bandar dikurangkan sehingga 54.2 peratus.

Yang menegaskan, keputusan kajian turut memberi implikasi kukuh terhadap negara lain dalam perjuangan mereka menentang Covid-19.

“Kelihatan selepas pelaksanaan pelbagai langkah kawalan, bandar raya yang menguatkuasakan ‘lockdown’ diperketatkan, mampu mendatarkan unjuran menaik kes jangkitan,” katanya.

Ketika Covid-19 merebak dengan pantas, banyak kerajaan negara dunia menguatkuasakan ‘lockdown’ di bandar raya mereka.

Kes di China pula mencatatkan penurunan menyaksikan Hubei sudah menghentikan sekatan di lebuh raya, kecuali di bandar Wuhan.

“Semua sekatan dan pos pemeriksaan di Wuhan akan ditamatkan pada 8 April, ketika bandar raya yang paling teruk dilanda wabak itu menarik balik larangan keluar dari situ buat kali pertama, sejak ‘lockdown’ dikuatkuasakan dua bulan lalu,” katanya.

Penyelidikan yang dijalankan Yang adalah dengan kerjasama Hanming Fang di Universiti Pennsylvania dan Long Wang dari Universiti Teknologi Shanghai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here