‘Kalau ditahan tolong beri kerjasama’

0
89

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, penahanan segelintir individu bukan sahaja melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi turut melakukan kesalahan lain di bawah akta kanun keseksaan.

Beliau berkata, ini kerana mereka didapati melakukan kesalahan lain yang turut membawa hukuman penjara sehingga lapan bulan.

“Punca segelintir individu yang didakwa bukan kerana gagal patuhi PKP tetapi kes-kes lain menghalang tugas pihak berkuasa dan dituduh dibawah Kanun Keseksaan serta bukan Akta 342 iaitu Kawalan Penyakit berjangkit.

“Sebagai contoh terdapat seorang penunggang motosikal merempuh sekatan jalan raya menyebabkan anggota polis cedera dan ia didakwa dibawah kanun keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah, seramai 309 individu telah direman dan 50 daripadanya telah dijamin yang membuktikan masih ramai yang ingkar arahan kerajaan dalam mematuhi PKP.

“Saya ingin merayu kepada semua supaya memberikan kerjasama kepada PDRM. Kalau ditahan tolong beri kerjasama. Jangan maki hamun mereka.

“Ingin saya ulangi bahawa mood penguatkuasaan telah berubah daripada tegas kepada keras. Apa yang dilakukan pasukan keselamatan adalah untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat negara ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar mematuhi PKP semalam menunjukkan penurunan iaitu 368 berbanding 413 orang kelmarin dengan penurunan sebanyak 11 peratus.

Beliau berkata, jumlah itu berdasarkan sebanyak 745 sekatan jalan raya dengan jumlah keseluruhan 331, 839 kenderaan telah diperiksa di seluruh negara semalam.

“Selain itu, sebanyak 25,554 pemeriksaan mengejut dengan 4,399 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Ini satu trend yang baik dan dianggap pematuhan rakyat terhadap perintah keerajaan diikuti sepenuhnya. Saya berharap rakyat terus mematuhi arahan sepanjang PKP dilaksanakan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here