Oleh SITI AZIELAH WAHI
CYBERJAYA – Semua agensi berkaitan memperketatkan kawalan sempadan dan laluan masuk negara menerusi lorong-lorong tikus bagi mengelak pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negara.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa telah mengenal pasti semua lorong tikus termasuk di pantai barat Semenanjung, Sabah dan jalan darat di Sarawak.
“Kerajaan maklum mengenai kebimbangan kemasukan PATI melalui lorong tikus di seluruh negara. Kita sudah kenal pasti semua laluan yang ada. Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seramai 84 individu telah ditangkap kerana mencerobohi negara ini melalui lorong tikus.
“Setiap agensi keselamatan terlibat dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya ‘lorong tikus’ bagi mengelak PATI membolosi sempadan negara, sekali gus membendung penularan Covid-19 ke dalam negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan bagi mereka yang ingkar PKP telah mula beroperasi.
“Setakat ini, 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP telah dihantar ke penjara sementara tersebut,” katanya. – MBNews