Kedai gunting rambut, salun tidak dibenarkan beroperasi

0
148

CYBERJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

“Sebelum ini kita menerima pelbagai pandangan daripada pakar, NGO dan rakyat mengenai kedai gunting rambut dan sebagainya, maka hari ini Perdana Menteri telah membuat keputusan seperti dinyatakan.

“Keputusan ini menjawab segala persoalan yang timbul. Maka, tiada lagi isu berkaitan kedai gunting rambut dan sebagainya. Sektor ini tidak dibenarkan beroperai sepanjang PKP,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa ketiga PKP bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan berikutan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di Malaysia di premis perniagaan berkenaan.

Semalam, majoriti pengusaha kedai gunting rambut, dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai, berbanding menjalankan operasi dan berdepan risiko penularan jangkitan Covid-19 ketika PKP fasa ketiga berkuat kuasa sehingga 28 April ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here